ADS

ULASAN | Di Malaysia, warga emas ditakrifkan sebagai individu yang berumur 60 tahun dan ke atas.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, pada 2024, populasi warga emas di negara ini mencapai 11.6 peratus daripada keseluhan penduduk, dan angka itu dijangka meningkat kepada 15 peratus menjelang 2030.

Golongan wanita membentuk sebahagian besar daripada kumpulan berkenaan, menjadikan keperluan mereka terhadap sistem pengangkutan awam amat penting.

Mobiliti yang baik bukan sahaja membantu warga emas menjalani kehidupan seharian dengan lebih mudah tetapi juga memastikan mereka kekal aktif dan berinteraksi dalam masyarakat.

ADS

Antara keperluan bagi wanita warga emas ialah pengangkutan yang selamat dan mudah diakses. Kemudahan seperti laluan bertutup, tempat duduk khas, dan pengangkutan mesra pengguna amat penting untuk memastikan keselamatan dan keselesaan mereka.

Selain itu, keperluan kepada kekerapan perkhidmatan pengangkutan awam yang tinggi juga penting.

Perkhidmatan bas dan tren yang tidak menepati jadual atau tidak mencukupi menyukarkan warga emas untuk bergerak, terutamanya bagi mereka yang tinggal di kawasan luar bandar atau di bandar berkepadatan tinggi.

Bergantung pada orang lain

ADS

Kajian yang dijalankan oleh pengkaji Universiti Malaya yang diketuai oleh Melasutra Md Dali pada 2024 menyatakan konteks sosial dan persekitaran yang dinamik memberi kesan yang besar terhadap kehidupan seharian golongan warga emas, terutamanya yang berdikari.

Dalam era teknologi digital yang semakin canggih, kehidupan warga emas juga perlu melalui perubahan akibat proses pendigitalan ini.

Bagaimanapun, alternatif kepada sistem digital perlu disediakan kerana tidak semua warga emas mahir menggunakan teknologi seperti aplikasi mudah alih untuk menempah perkhidmatan pengangkutan.

Pada masa sama semakin banyak perkhidmatan pengangkutan menggunakan aplikasi mudah alih untuk pembayaran tambang dan tempahan perkhidmatan. Adakah kemudahan ini memudahkan golongan warga emas, dan bagaimana ia mampu dicapai oleh mereka?

Aplikasi digital amat memudahkan pengguna muda, namun ia menjadi cabaran besar buat warga emas, terutamanya yang kurang mahir dalam teknologi semasa.

Laporan Tahunan Jabatan Perkhidmatan Awam 2021 menunjukkan 57.98 peratus warga emas menghadapi kesukaran menggunakan sistem dalam talian, manakala 59.67 peratus menghadapi masalah mengakses portal perkhidmatan kerana ketiadaan peranti yang sesuai atau masalah capaian internet.

Ini menyebabkan mereka bergantung kepada ahli keluarga atau pihak lain untuk mendapatkan pengangkutan, yang secara tidak langsung mengurangkan kebebasan mereka. Ditambah dengan masalah kurang penglihatan dan penurunan kemahiran motorik halus yang menyukarkan penggunaan telofon pintar kepada mereka.

Selain itu, penggunaan aplikasi mudah alih juga mendedahkan warga emas - terutamanya wanita - kepada risiko penipuan (scamming) dalam talian. Terdapat banyak kes mereka ditipu melalui aplikasi palsu atau penyedia perkhidmatan yang tidak sah sama ada di dalam ataupun di luar negara.

ADS

Scammer mengambil kesempatan terhadap ketidakupayaan mereka untuk memahami sepenuhnya terma dan syarat penggunaan aplikasi.

Kes-kes seperti penipuan bayaran, pencurian maklumat peribadi, dan caj tersembunyi sering berlaku, menjadikan mereka lebih rentan terhadap eksploitasi.

Perlu lebih mesra semua pengguna

Gabungan aplikasi teknologi dalam pengangkutan awam sewajarnya memberi kelebihan akses fzikal yang lebih baik tetapi sebaliknya telah menyukarkanwarga emas.

Justeru kajian lanjut harus dijalankan bagi memastikan lebih ramai warga emas mampu dan bijak menggunakan aplikasi tersebut.

Usaha untuk memastikan kebergantungan penggunaan applikasi oleh warga emas secara sendiri perlu diarusperdanakan kerana kemajuan teknologi - termasuklah penggunaan aplikasi mudah alih di dalam pengangkutan awam - tidak dapat lagi dielakkan di masa hadapan.

Kita tidak mahu warga emas tertinggal dalam arus digitalisasi pengangkutan awam, da pada pada masa yang sama terperangkap dalam masalah yang akan menurunkan kualiti hidup masing-masing, lalu mewujudkan masalah psikososial yang lain.

Tambahan pula, masalah keselamatan dalam pengangkutan awam juga menjadi kebimbangan. Terdapat laporan mengenai kejadian ragut, gangguan seksual, dan kecurian yang sering berlaku ke atas warga emas.

Hal ini lebih merisaukan jika ia melibatkan warga emas wanita yang lazimnya lebih terdedah kepada risiko jenayah.

Sejajar dengan perubahan ini, pihak berkuasa perlu mengambil langkah segera untuk menjadikan sistem pengangkutan awam lebih mesra warga emas terutamanya di bandar raya besar seperti Kuala Lumpur.

Penyediaan perkhidmatan awam perlu mengenal pasti kaedah alternatif selain aplikasi mudah alih, seperti pembayaran secara tunai atau kaunter fizikal, penggunaan teknologi biometrik (pengecaman wajah atau cap jari) bagi mereka yang tidak celik teknologi.

Ia perlu digerakkan sehinggalah penggunaan peranti dan aplikasi yang berkaitan menjadi budaya seharian untuk golongan tersebut.

Di samping itu, kesedaran tentang kegiatan penipuan digital juga perlu ditingkatkan bagi memastikan warga emas - terutama wanita - tidak menjadi mangsa. Dengan usaha yang bersepadu, kita boleh memastikan sistem pengangkutan awam lebih inklusif, mesra pengguna dan selamat untuk semua lapisan masyarakat, termasuk warga emas.


YONG ADILAH SHAMSUL HARUMAIN dan MELASUTRA MD DALI merupakan ahli akademik memiliki PhD dan bertugas di Jabatan Perancangan Bandar dan Wilayah, Fakulti Alam Bina Universiti Malaya.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS