ADS
mk-logo
Berita
Sebagai parti ada kerusi, PAS kongsi nasihat buat MIPP dan Gerakan

Naib Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang Hafiz Alias ​​Al-Baghoni menggesa pemimpin parti komponen Perikatan Nasional (PN) menumpukan perhatian berkhidmat kepada rakyat dan membiarkan pucuk pimpinan menentukan kepimpinan gabungan negeri.

Ini berlaku di tengah-tengah pertikaian antara Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) dan Gerakan, yang masing-masing mahu parti mereka memimpin PN di negeri itu.

Ketika dihubungi, Hafiz menyeru kedua-dua parti bekerjasama dengan PAS dan Bersatu di Pulau Pinang, mengakui usaha mereka sebagai pembangkang dalam menangani kebimbangan orang ramai.

"Bagi kita PAS dan Bersatu yang ada kerusi di Pulau Pinang ini sebaiknya kita menyerahkan benda (soal kepimpinan negeri) ini kepada kepimpinan utama.

ADS

"Jadi MIPP dan Gerakan ni perlu bergerak seiringlah bersama dengan PAS dan Bersatu di Pulau Pinang mencari formula untuk memenangi hati rakyat. Bukannya sekadar claim dia ni boleh jadi, dia ni boleh terajui PN Pulau Pinang, itu semua buang masa," katanya kepada Malaysiakini.

Dominic Lau

Sebelum ini, Presiden Gerakan Dominic Lau menolak cadangan MIPP untuk ia menerajui PN di Pulau Pinang, dengan alasan Gerakan pernah memegang jawatan ketua menteri selama 39 tahun.

Sebagai tindak balas, Presiden MIPP P. Punithan berkata matlamat Gerakan untuk menawan semula Pulau Pinang adalah tidak realistik kerana asas pengundi Cina yang kukuh di negeri itu, yang sebahagian besarnya menyokong DAP.

Ketua Penerangan MIPP Suthan Mookaiah mengukuhkan lagi pendirian partinya, dengan menyatakan bahawa kaum India juga mempunyai hak untuk memimpin Pulau Pinang.

Sambil mengiktiraf peranan bersejarah Gerakan dalam mentadbir negeri, Hafiz berkata MIPP juga perlu diberi peluang yang adil untuk membuktikan dirinya.

“Ya betul Gerakan pernah menguasai kerajaan negeri Pulau Pinang. Tapi pendekatannya perlu baru. Pendekatannya perlu moden dan pelbagai.

"Tambahan pula dengan pengundi kali pertama kita ini di awal usia 18 tahun, kena ada teknik untuk tambat hati pengundi kali pertama ini," tambahnya.

Hafiz menegaskan bahawa keutamaan sekarang adalah membuktikan kepada umum bahawa wakil PN boleh melaksanakan tugas.

“PAS dia tak jadi kerajaankah, tak ada kerusikah, tapi kita tetap bekerja, menyantuni, kita pergi berjumpa dengan rakyat.

"Jadi kami nasihatlah selaku PAS yang banyak kerusi di Pulau Pinang ni kan, kami nasihatlah kepada rakan-rakan komponen kami daripada Gerakan dan MIPP ni, fokus kepada isu rakyat dan juga fokus kepada kebajikan rakyat.

"Buktikan usaha mereka yang mereka boleh untuk memerintah bukan sekadar sebut sahaja di mulut," tambahnya.

PN memegang 11 daripada 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, dengan tujuh kerusi milik PAS dan baki empat lagi Bersatu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS