ADS
mk-logo
Berita
Persenda agama lain: Era FM rehatkan Nabil, Azad dan Radin
Diterbitkan:  Mar 4, 2025 2:33 PM
Dikemaskini: 8:25 AM
2

Tiga penyampai radio Era FM digantung tugas buat sementara waktu sehingga siasatan dalaman berhubung video mempersenda upacara berkaitan Thaipusam selesai dijalankan syarikat terbabit.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Astro Audio selaku pengendali saluran tersebut para penyampai terbabit sudah mengakui kesilapan mereka dan mengeluarkan permohonan maaf secara terbuka.

"Sebagai sebuah syarikat penyiaran bertanggungjawab, kami memandang serius perkara ini.

"Selepas pertimbangan yang teliti, kami memutuskan untuk merehatkan ketiga-tiga individu tersebut daripada ke udara sehingga diberitahu kelak, sementara kami menjalankan siasatan dalaman ke atas insiden ini," kata kenyataan itu.

ADS

Astro Audio berkata, mereka bersedia bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa bagi memastikan pematuhan penuh terhadap kesemua garis panduan dan keperluan yang ditetapkan.

Terdahulu hari ini, trio pengacara Era FM itu membuat permohonan maaf di media sosial kerana menghina kaum India dan mengakui kesilapan mereka.

Tiga penyampai berkenaan ialah Nabil Ahmad, Azad Jasmin, dan Radin dan mereka mengendalikan bersama segmen 3 Pagi Era pada setiap Isnin hingga Jumaat.

Permohonan maaf itu susulan video kontroversi yang memperlihatkan Azad menari mengikut nyanyian "vel vel" di hadapan beberapa kakitangan lain sebelum dia ketawa.

ADS

Laungan "vel vel" merujuk kepada dewa Hindu dan sering dilaungkan semasa seseorang mengambil kavadi sempena Thaipusam.

Susulan insiden tersebut, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh, selain menghubungi pihak pengurusan Astro dan Era FM untuk mendapatkan penjelasan.

Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang pula menggesa MCMC mengambil tindakan sewajarnya seperti yang diberikan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berhubung penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
2
ADS
ADS
ADS