Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tol percuma: K'jaan perlu adil pada orang Cina - pemimpin MIC
Diterbitkan:  Jan 23, 2025 4:19 PM
Dikemaskini: 8:19 AM

Ekoran keputusan menghentikan pemberian tol percuma bersempena musim perayaan, seorang pemimpin MIC menyeru kerajaan supaya berlaku adil kepada masyarakat Cina.

Naib Presiden MIC T Murugiah berkata kerajaan perlu meneliti penarikan balik pemberian tol percuma menjelang Tahun Baru Cina.

"Saya ingin menyeru pihak kerajaan agar membuat pertimbangan yang lebih teliti dan saksama terhadap keputusan penarikan balik bayaran tol sempena sambutan Tahun Baru Cina.

"Langkah ini amat penting untuk memastikan bahawa masyarakat Cina, yang merayakan perayaan terbesar mereka, diberikan keadilan dalam menikmati kemudahan serta galakan yang disediakan oleh kerajaan," katanya pada satu kenyataan hari ini.

Murugiah berkata pemberian tol percuma hanya untuk tempoh sementara namun ia boleh meringankan beban kewangan dan menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap kesejahteraan rakyat tanpa mengira kaum.

"Perlu diingat bahawa kerajaan pernah berjanji untuk menghapuskan pembayaran tol sekiranya diberi mandat untuk memerintah.

"Kini, walaupun janji itu belum ditunaikan sepenuhnya, setidak-tidaknya kerajaan perlu menunaikan tanggungjawab sosial dengan memberikan keistimewaan seperti pemberian tol percuma sempena perayaan utama.

"Amat mengecewakan jika ketika waktu perayaan sekalipun, keprihatinan ini diabaikan," katanya.

Sebelum ini, Menteri Kerja Raya Alexander Nanta Linggi mengumumkan kerajaan menghentikan pemberian tol percuma bersempena musim perayaan.

Katanya, mesyuarat kabinet pada tahun lepas membuat ketetapan itu namun ia akan diganti dengan pendekatan yang lebih bersasar.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS