Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Sambutan glamor Aidilfitri: Saya tak diundang, tanya KKM, kata Fahmi

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil memilih untuk mengelak soalan berhubung keberangan warga maya berhubung jumlah wang yang dibelanjakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menganjurkan sambutan Aidilfitri di Putrajaya, semalam.

Majlis yang juga dihadiri oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim itu dikatakan agak mewah dan menampilkan beberapa artis tempatan yang tersohor.

Fahmi yang juga menteri komunikasi memberi alasan dirinya tidak diundang dan meminta supaya perkara itu dirujuk kepada KKM.

“Dalam pengalaman saya sendiri bagi kementerian komunikasi tahun lalu, tahun ini kami manfaatkan (artis) veteran dan beberapa yang lain dan mengenai jemputan, kadang-kadang artis yang hadir tidak mengenakan apa-apa bayaran ataupun bayaran yang nominal.

“Dalam pengalaman kementerian komunikasi sendiri pada tahun lalu, bila kita melakukan kerjasama dengan KPKT (kementerian perumahan dan kerajaan tempatan), beberapa artis telah menyatakan mereka akan menyampaikan persembahaan dan tidak mengenakan apa-apa caj.

“Tapi, untuk itu (majlis sambutan Aidilfitri KKM) Saya tak ada apa-apa maklumat, boleh rujuk dengan kementerian kesihatan,” katanya pada sidang media pasca mesyuarat kabinet di Putrajaya hari ini.

Ramai pihak mempersoalkan perbelanjaan KKM untuk majlis rumah terbuka itu, selepas beberapa gambar acara berkenaan menunjukkan sambutan yang meriah termasuk persembahan daripada artis popular tanah air.

Berdasarkan beberapa gambar yang dimuat naik di akaun Facebook Menteri Kesihatan, Dzulkefly Ahmad, antara artis yang dijemput menghiburkan tetamu ialah penyanyi nombor satu negara, Siti Nurhaliza dan raja pop, Jamal Abdillah.

Satu kumpulan penari tradisional Melayu turut kelihatan membuat persembahan di atas pentas dalam acara itu.

Hantaran Facebook Dzulkefly yang dimuat naik sebelum jam 11 malam tadi menarik ratusan kritikan, termasuk daripada individu yang dipercayai petugas kesihatan.

“Untungnya orang-orang kementerian kan, jamuan level-level kayangan..artis panggil yang mahal-mahal. Kalaulah bajet tu digunakan untuk repair klinik-klinik yang daif lagi bagus,” kata satu komen netizen pada hantaran tersebut.

Seorang lagi netizen bertanya: “Aik, ada bajet pulak?”

“Kalau saya, saya malu nak buat jamuan dan up kat sosmed bila pekerja bawah jagaan saya burn out. Itu saya lah,” komen seorang lagi, dipercayai merujuk kepada isu beban kerja petugas kesihatan KKM di seluruh negara.

“Lauk boleh tambah, staff bila nak tambah?" soal seorang lagi warga maya.

Ada juga komen di Facebook Dzulkefly yang menggesa menteri itu meletakkan jawatan.

Jumlah sebenar perbelanjaan KKM bagi majlis sambutan hari raya dan persembahan tersebut masih belum diketahui.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS