Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Skandal Sabah: 'Risiko pendakwaan lemah jika siasatan dibuat tergesa-gesa'
Diterbitkan:  Dec 28, 2024 6:16 PM
Dikemaskini: 10:16 AM

Ketua Penerangan PKR Sabah Razeef Rakimin mengingatkan bahawa desakan ke atas SPRM agar mempercepat siasatan berhubung skandal video rasuah negeri itu berisiko menyebabkan kelemahan dalam pendakwaan, yang boleh membawa kepada pembebasan pihak yang terlibat.

Razeef merujuk kepada kes-kes lalu melibatkan pemimpin BN dan menyifatkan pertuduhan terhadap mereka sebagai “tergesa-gesa”, sehingga menyebabkan kes mereka digugurkan.

“Dakwaan terhadap beberapa individu ini terlalu gopoh dan kelihatan lebih kepada bermotifkan politik sehingga SPRM dilihat tiada ruang cukup. 

“Akhirnya, kecacatan pendakwaan akibat kekurangan bukti telah menyebabkan individu terlibat dilepaskan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan Razeef ini di saat pelajar universiti di Sabah merancang untuk mengadakan protes yang antara lain mendesak SPRM mempercepat siasatan terhadap dakwaan beberapa Adun Sabah, termasuk Ketua Menteri Hajiji Noor, terlibat dalam rasuah mengaitkan seorang ahli perniagaan dan lesen penerokaan mineral.

Di saat skandal tersebut terus menjadi perhatian, orang ramai dikejutkan dengan dua pemimpin BN yang dibebaskan daripada tuduhan rasuah.

Pada awal bulan ini, pendakwaan menarik balik rayuan terhadap Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi dalam kes rasuah VLN.

Selain itu, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Rosmah Mansor untuk membatalkan kes pengubahan wang haram dan pengelakan cukai terhadapnya.

Zahid dan Rosmah diheret ke mahkamah selepas PRU 2018.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada minggu lalu pula menyatakan beberapa kes yang dimulakan dalam tempoh itu dilakukan secara tergesa-gesa dan “dicemari racun dan permusuhan”.

Sementara itu, Razeef berkata isu rasuah di Sabah bukan perkara baru walaupun ia semakin hangat diperkatakan beberapa bulan kebelakangan ini.

Dia mengakui sukar untuk membanteras rasuah dalam kalangan penjawat awam dan ahli politik kerana masalah itu telah berakar dalam pentadbiran sebelum ini.

“Namun perbezaan yang dapat dilihat adalah di bawah kerajaan Madani, kita tidak berkompromi terhadap individu yang melakukan rasuah serta salah guna kuasa.

Berbeza dengan pentadbiran kerajaan terdahulu, hari ini semua pihak termasuk ahli politik akan disiasat dan diambil tindakan,” katanya lagi.

Razeef turut membangkitkan kes rasuah ke atas Pengerusi BN Sabah Bung Moktar Radin yang akan dibicarakan di depan hakim baru, dengan menggesa ia diadili sebaiknya berdasarkan bukti yang ada.

Dia turut mendakwa berlaku kebocoran sehingga RM1.5 bilion ketika Ahli Parlimen Semporna Shafie Apdal menjadi Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dari 2009 hingga 2015.

“Ketirisan dengan jumlah yang sangat besar ini mengakibatkan banyak projek pembangunan infrastruktur rakyat tidak berfungsi.

“Ini termasuk projek jalan raya, bekalan elektrik dan bekalan air termasuk projek pembinaan sebuah loji air bernilai RM45 juta di Semporna yang menjadi projek 'gajah putih',” dakwanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS