Pemberi maklumat skandal rasuah Sabah telah membuat pendedahan baharu yang mengaitkan Ketua Menteri Hajiji Noor dan beberapa Adun negeri itu.
Peguam pemberi maklumat tersebut, Muhammad Shafee Abdullah mendedahkan dia telah menasihati anak guamnya untuk membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi “memecahkan kebuntuan.”
“SPRM nampaknya terkekang, dengan alasan kekurangan laporan rasmi dan hakikat bahawa anak guam saya belum menyerahkan bukti,” kata Shafee kepada Malaysiakini.
Peguam senior itu turut menyatakan bahawa walaupun Malaysiakini telah menyiarkan video berkenaan skandal itu dan bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya menegaskan bahawa rakaman tersebut merupakan bukti yang jelas, tiada tindakan konkrit yang telah diambil.
“Anak guam saya akan membuat laporan dan menyerahkan semua bukti yang dimilikinya untuk memastikan tindakan diambil. Ini termasuk video, tangkap layar perbualan WhatsApp, dokumen dan bukti lain yang menyokong dakwaannya,” katanya lagi.
‘Mengubah naratif’
Mengenai dakwaan perbualan WhatsApp, Shafee menekankan anak guamnya ingin mencabar naratif pada masa ini yang menyatakan perbincangan seperti yang dipaparkan dalam video tersebut adalah berkaitan derma politik.
“Tangkap layar ini hanyalah sebahagian daripada bukti yang dia ada, tetapi ia akan menunjukkan keadaan sebenar transaksi tersebut,” katanya.
Sebelum ini, Malaysiakini melaporkan Hajiji menafikan dakwaan berlakunya rasuah, dengan menyatakan ia berkaitan dengan derma politik.
"Tetapi bohonglah kalau setiap parti politik atau pemimpin politik tidak menerima dana politik daripada penyumbang-penyumbang.
Macam mana parti politik boleh bergerak kalau tidak sumbangan dana politik daripada mereka yang berkemampuan. Kalau harap wakil rakyat saja punya gaji, macam mana kita hidup. Makan pun tidak cukup," kata Hajiji.
Mengulas kenyataan itu, Shafee mempersoalkan jika Hajiji boleh mengemukakan bukti untuk menyokong dakwaannya.
“Ini adalah kes bersejarah dan satu mainan campur tolak (zero-sum game) terhadap rasuah. Anak guam saya bersedia membuat laporan. Persoalannya, adakah SPRM akan memberikan perlindungan kepadanya untuk berperanan sebagai saksi terhadap rasuah dalam kerajaan? Atau adakah pertimbangan politik akan menjadi keutamaan?
“Jawapannya terletak pada perdana menteri (Anwar Ibrahim) dan ketua pesuruhjaya SPRM (Azam Baki),” katanya lagi.
Pada 9 Disember, Azam berkata SPRM telah merakam keterengan daripada 15 individu, termasuk pemberi maklumat tersebut.
Menurutnya pemberi maklumat itu setakat itu enggan menyerahkan bukti, dengan membangkitkan permintaannya agar diberi perlindungan atau imuniti daripada SPRM.
“Saya ingin tegaskan sekali lagi bahawa SPRM tidak boleh melindunginya selagi dia tidak beri apa yang dia ada,” kata Azam.
Pemberi maklumat tersebut, yang mengaku memberi rasuah kepada beberapa Adun sebagai pertukaran untuk lesen penerokaan perlombongan, telah mengeluarkan beberapa video yang dirakam secara rahsia menggunakan kamera pen.
Apabila Hajiji dan ADUN yang terlibat menyangkal video tersebut sebagai disunting atau dimanipulasi, pemberi maklumat itu membalasnya dengan mencabar mereka untuk memfailkan saman fitnah ke atasnya.