Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Video Adun Sabah tunjuk 'bukti jelas' perbuatan rasuah - Latheefa
Diterbitkan:  Dec 21, 2024 12:21 PM
Dikemaskini: 4:36 AM

Bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya menempelak Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor kerana meremehkan pendedahan rasuah dalam pentadbirannya apabila menyifatkan ia sebagai sumbangan politik.

Dalam satu kenyataan di X, Latheefa menyifatkan kenyataan Hajiji sebagai "tidak masuk akal" dan "memutarbelitkan undang-undang berkaitan rasuah di Malaysia."

“Video-video tersebut dengan jelas menunjukkan beberapa Adun mengakui mereka menerima wang daripada seorang ahli perniagaan sebagai balasan sokongan untuk mendapatkan lesen cari gali daripada Ketua Menteri Sabah.

“Sebagai balasan, Adun-Adun ini akan memberikan sokongan politik kepada Hajiji,” kata peguam-aktivis itu, merujuk kepada beberapa siri video yang didedah seorang pemberi maklumat yang mengaku menawarkan rasuah kepada lapan Adun Sabah.

Latheefa mendakwa rakaman video penuh menunjukkan bukti jelas tentang rasuah dan memenuhi sepenuhnya definisi "suapan" di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

“Seseorang tidak boleh mengelak daripada pendakwaan berkaitan rasuah dengan menyembunyikan suapan di bawah alasan ‘sumbangan politik’.

“Inilah intipati skandal rasuah Sabah yang tidak boleh dilupakan, walaupun terdapat usaha untuk mengaburkan isu ini,” tegas pengasas bersama Lawyers for Liberty.

Dalam satu hantaran terbaru di TikTok, Hajiji mengulas dakwaan rasuah tersebut, dengan mengatakan video yang didedahkan oleh pemberi maklumat mungkin merujuk kepada sumbangan politik dan bukan rasuah.

Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu menegaskan walaupun Adun-Adun berkenaan tidak pernah meminta rasuah, adalah tidak benar untuk mengatakan bahawa parti politik dan ahli politik tidak menerima dana politik daripada penderma.

Mengulas lanjut, Latheefa berkata walaupun dakwaan rasuah perlu dibuktikan di mahkamah, respons pihak berkuasa dan kerajaan menimbulkan rasa tidak percaya dalam kalangan rakyat.

“Walaupun perkara ini perlu dibuktikan di mahkamah, tidakkah ia wajar untuk dilakukan siasatan yang pantas dan menyeluruh, tanpa meninggalkan sebarang aspek yang tidak disiasat?

“Sebaliknya, apa yang kita dengar daripada kerajaan dan pihak berkuasa hanyalah perbahasan kosong mengenai peruntukan tentang pemberi maklumat.

“Adakah rakyat patut dipersalahkan jika mereka berfikir bahawa kebenaran sedang disembunyikan untuk melindungi sekutu politik yang berkuasa?

“Bukankah ini menghantar mesej bahawa jika anda berada dalam kerajaan, jika anda ada connection, anda akan dilindungi dan boleh terlepas daripada tuduhan rasuah?” soalnya.

Bulan lepas, Perdana Menteri Anwar Ibrahim memberitahu Dewan Rakyat bahawa tidak akan ada sebarang usaha untuk mengekang siasatan SPRM berhubung skandal rasuah tersebut.

Pemberi maklumat berkenaan sebelum ini menyatakan kesediaannya untuk memberikan semua bukti kepada SPRM tetapi meminta pihak berkuasa itu memberikan perlindungan di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS