Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis: Rumah balu wira Sabah tak diroboh, isu dieksploitasi
Diterbitkan:  Dec 19, 2024 5:10 PM
Dikemaskini: 11:15 AM

Pesuruhjaya Polis Sabah Jauteh Dikun berkata isu perobohan rumah di Pulau Bugaya Semporna, Sabah dieksploitasi pihak tertentu.

Isu yang tular di media sosial itu tambah hangat apabila media melaporkan kisah Sitti Bandorah Mahalil - balu kepada seorang anggota polis, allahyarham Sarjan Abdul Azis Sarikon yang terkorban dalam pencerobohan kumpulan Sulu pada 2013 - yang menyatakan kekecewaan dengan kehadiran polis yang mahu merobohkan kediamannya.

Jauteh dipetik Utusan Borneo sebagai mengatakan bahawa rumah Sitti Bandorah di Kampung Alab di pulau itu tidak dirobohkan dalam operasi berkenaan.

Pesuruhjaya polis negeri itu juga berkata rumah yang dipertahankan Sitti Bandorah itu didiami oleh adik dan anak buahnya.

“Pihak polis mendapati isu ini tidak benar dan balu kepada allahyarham tidak tinggal di rumah berkenaan. Rumah terbabit adalah milik kepada ayahnya yang dibina pada 1980-an dan hanya didiami oleh adik serta anak buahnya.

“Siasatan juga mendapati Sitti Bandorah tinggal di rumahnya di daratan selain mempunyai beberapa buah rumah sendiri.

“Semasa operasi merobohkan rumah dijalankan, pihak penguat kuasa tidak pernah mengeluarkan apa-apa ugutan terhadap individu berkenaan dan yang paling penting rumah ini tidak pernah diroboh dan hanya beberapa rumah kosong yang dipercayai milik warga asing berhampiran kawasan itu yang dirobohkan,” katanya.

Sitti Bandorah Mahalil

Suami Sitti Bandorah merupakan antara enam anggota polis yang terbunuh dalam serangan hendap oleh pengganas bersenjata di Kampung Simunul, Semporna pada 2013.

Sitti Bandorah sebelum ini menyatakan kekecewaannya apabila pihak berkuasa daripada pelbagai agensi, termasuk polis dan Taman Sabah, datang ke kampung mereka dan mengarahkan penduduk supaya mengosongkan rumah masing-masing.

Namun, keluarga Sitti Bandorah bersama penduduk lain enggan berganjak dan mendakwa mereka diancam akan ditangkap.

“Dia cakap sekarang kamu kemas-kemas, rumah akan dirobohkan.

“Saya cakap, apa hukumnya kalau saya melarang, kalau saya bertegas jangan dirobohkan rumah kami, dia cakap kamu akan ditangkap, dibawa pergi balai.

“Tapi (kemudiannya selepas) kami kemas-kemas, dia orang cakap kami akan balik dan potong rumah kamu,” katanya kepada Malaysiakini.

Ibu tunggal itu mempersoalkan mengapa pihak berkuasa mahu mengusir penduduk kampung tempatan sedangkan mereka adalah rakyat Malaysia.

Dia juga mendakwa beberapa anggota operasi itu bersikap kasar terhadap keluarganya kerana enggan mengosongkan rumah mereka.

Operasi perobohan tak libatkan rumah warga tempatan

Sementara itu, laporan Utusan Borneo juga memetik Jauteh sebagai berkata bahawa pihak polis sudah menekankan sejak awal agar rumah milik warganegara atau warga tempatan tidak dirobohkan dalam operasi berkenaan.

“Berdasarkan rekod, daripada sejumlah 3,257 rumah yang dirobohkan dalam operasi Op Koloni Setinggan ini, sehingga kini tidak ada satupun rumah warga negara Malaysia yang dirobohkan dan saya percaya bahwa isu ini dieksploitasi oleh golongan-golongan tertentu untuk cuba melemahkan operasi yang sedang dirancang oleh pihak PDRM untuk mengurangkan ataupun menghapuskan koloni-koloni setinggan pendatang asing tanpa izin (Pati).

“Untuk makluman juga, penama ini (Sitti Bandorah) juga mempunyai seorang anak pegawai kanan polis dan lebih menguatkan faktor terdapat golongan tertentu yang mencuba mengeksploitasi isu ini dan mengambil kesempatan memanipulasikan apa juga isu untuk cuba melemahkan usaha pihak berkuasa yang diketuai oleh PDRM dalam usaha untuk menghapuskan koloni setinggan Pati di Sabah,” katanya.

Jauteh berkata, pihaknya belum menerima sebarang laporan polis namun tidak menolak kemungkinan mengambil tindakan terhadap orang atau pihak yang didakwa mengeksploitasi isu berkenaan.

“Selepas berlakunya isu ini, kita sudah menghantar pegawai kita iaitu Pemangku Ketua Polis Daerah Semporna sendiri untuk berjumpa dengan keluarga ini untuk mengetahui keadaan sebenar.

“Hasil maklum balas daripada Sitti Bandorah menyatakan dia kadangkala datang ke tempat itu untuk melawat keluarganya, dia turut mendakwa berlaku sedikit salah faham semasa proses ini berlangsung.

“Kita akan meneruskan siasatan dan saya harap pihak awam maklum mengenai kes ini dan tidak menyalahkan pihak berkuasa dalam melakasanakan operasi untuk mengurangkan dan mengatasi masalah kebanjiran Pati serta koloni setinggan di Sabah terutamanya di pantai timur Sabah,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS