Jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil menegaskan pelantikan Yang di-Pertua Negeri Sabah adalah di bawah budi bicara Yang di-Pertuan Agong selepas mendapat nasihat daripada ketua menteri.
Menerusi ciapan balas di X, Fahmi membidas kritikan pemangku presiden Muda Amira Aisya Abdul Aziz terhadap kerajaan berhubung pelantikan Musa Aman sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah yang berkuat kuasa 1 Januari depan.
“Sebelum YB (Amira) membuat kenyataan tanpa asas fakta seperti ini, seharusnya YB teliti dahulu Perkara (1) Perlembagaan Negeri Sabah yang jelas menyatakan tugas dan tanggungjawab dalam pelantikan Yang di-Pertua Negeri Sabah,” kata Fahmi.
Fahmi yang juga menteri komunikasi turut melampirkan Perkara (1) Perlembagaan Negeri Sabah, yang menggariskan soal pelantikan Yang di-Pertua Negeri.
Hari ini, Amira yang juga Adun Puteri Wangsa membangkitkan dakwaan rasuah terhadap Musa ketika menjadi ketua menteri Sabah, dan mendakwa kerajaan “meraikan perasuah”.
Pelantikan Musa di tengah kerjasama PH pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dengan BN dan Gabungan Rakyat Sabah - yang memimpin kerajaan negeri - dalam membentuk kerajaan persekutuan.
Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor - yang turut berdepan dakwaan rasuah dan dilaporkan berusaha mendapatkan sokongan Anwar - telah mencalonkan Musa untuk jawatan Yang di-Pertua Negeri.
Sementara itu, Amira dalam jawapannya terhadap Fahmi membangkitkan tiga persoalan berkaitan peranan Hajiji dalam menasihati Agong.
“Sebagai anggota kabinet kerajaan, saya ada tiga soalan kepada YB. Adakah lantikan ini dibincang antara ketua menteri dan perdana menteri?
“Apa respons perdana menteri dengan nasihat ketua menteri yang merupakan rakan kongsi kerajaan perpaduan?
“YB setuju dengan pelantikan ini?” soalnya.
Musa menerima surat cara pelantikan daripada Yang di-Pertuan Agong di Kuala Lumpur hari ini.
Musa juga dikurniakan darjah kebesaran Seri Maharaja Mangku Negara oleh Yang di-Pertuan Agong yang membawa gelaran Tun.
Musa akan menjadi Yang di-Pertua Negeri selama empat tahun, dan berakhir pada 31 Disember 2028.