Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Musa jadi TYT: Muda anggap laungan reformasi dah jadi 'reformati'
Diterbitkan:  Dec 17, 2024 1:25 PM
Dikemaskini: 5:29 AM

Muda menganggap laungan reformasi yang pernah dibuat Perdana Menteri Anwar Ibrahim berubah menjadi 'reformati' ekoran pelantikan Musa Aman sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah hari ini.

Pemangku presiden parti itu, Amira Aisya Abdul Aziz, berkata selama ini orang ramai menyangka kerajaan akan giat melawan rasuah namun sebaliknya ia dilihat "meraikan perasuah."

Dia yang juga Adun Puteri Wangsa di Johor juga mendakwa apa yang berlaku sebelum ini dan sekarang akan tetap ada dalam fikiran orang ramai.

"Rakyat ingat kerajaan akan perang rasuah. Rupanya kerajaan nak raikan perasuah.

"Jangan lupa lantikan TYT dibuat atas nasihat ketua menteri," katanya dalam ciapan di X pagi ini.

Terdahulu Musa yang juga bekas ketua menteri di Negeri Di Bawah Bayu itu menerima surat cara pelantikan sebagi Yang di-Pertua Negeri daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Pelantikan Musa itu akan berkuat kuasa 1 Jan akan datang bagi menggantikan Juhar Mahiruddin yang tamat tempoh perkhidmatannya pada 31 Dis ini.

Anggap paling hipokrit

Untuk rekod pada Nov 2018 Musa berdepan dengan 30 pertuduhan rasuah melibatkan dana bernilai AS$50.1 juta dan 16 pertuduhan pengubahan wang haram (AS$37.8 juta dan S$2.5 juta).

Bagaimanapun pada 9 Jun 2020, Musa dibebaskan selepas timbalan pendakwa raya memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, pihaknya memohon agar semua pertuduhan dalam kes rasuah dan pengubahan wang haram digugurkan.

Sehari selepas itu Anwar membuat kenyataan kecewa dan menganggap berlaku layanan berbeza dalam sistem keadilan negara.

Kata Anwar, pertuduhan ke atas bekas Ketua Menteri Sabah yang paling lama berkhidmat itu digugurkan begitu saja ketika ada orang biasa yang dipenjara atas kesalahan bernilai ratusan ringgit.

"Jika anda seorang guru, atau pekerja biasa, pekerja kilang atau kakitangan kerajaan yang rendah, jika anda melakukan kesalahan, anda akan disabitkan kesalahan dan didenda atau dipenjarakan.

"Tetapi jika anda seorang tokoh politik besar (terlibat lebih) ratusan juta atau berbilion ringgit, anda dilepaskan," katanya.

Anwar juga mengaitkan kenyataan itu dengan genapnya 100 hari PN menjadi kerajaan pusat pada 8 Jun 2020 iaitu sehari sebelum Musa dibebaskan mahkamah.

Pihak pendakwaan memetik keterangan bekas peguam negara, Abdul Gani Patail, yang mempertahankan langkah tidak mendakwa Musa kerana wang terbabit disifatkan sebagai pembiayaan politik.

Mengulas mengenai perkara tersebut, Anwar mempersoalkan sama ada Abdul Gani mempunyai sebarang kepentingan diri di Sabah atau sebaliknya.

"Tidakkah boleh dipersoalkan apakah kepentingan Gani di Sabah, sama ada tanah, peribadi, keluarga atau saham, yang menjadikannya begitu mudah untuk melepaskan (Musa)?" kata Presiden PKR itu dalam video 10 Jun.

Anwar turut menciap di X untuk menyindir Musa kerana dibebaskan manakala seorang buruh yang mencuri petai dijatuhi hukuman penjara 15 bulan.

Amira Aisya apa yang berlaku sebelum ini akan dikenang oleh orang ramai.

"Rakyat akan ingat dan kekal ingat. Apabila laungan reformasi jadi reformati," katanya.

Menurut Amira Aisya lagi, ketika ini seseorang yang digelar sebagai perasuah boleh menjadi timbalan perdana menteri, memegang jawatan kanan dalam syarikat berkaitan kerajaan dan TYT.

"PMX (Anwar) ialah perdana menteri paling hipokrit," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS