Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, berkenan menyampaikan surat cara pelantikan kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah yang baru esok.
Berdasarkan jadual Bernama, istiadat itu akan berlangsung di Istana Negara pagi esok.
Ketua Penerangan PKR Sabah, Razeef Rakimin, ketika dihubungi, mengesahkan majlis pelantikan itu akan diadakan esok.
Yang di-Pertua Negeri yang baru akan menggantikan Juhar Mahiruddin, yang tamat tempoh perkhidmatannya pada 31 Disember 2024..
Minggu lalu, Malaysiakini melaporkan bekas Ketua Menteri Sabah Musa Aman muncul sebagai calon utama untuk jawatan itu.
Selain Musa, calon lain yang dilapor turut tersenarai ialah bekas ketua menteri, Joseph Pairin Kitingan dan bekas Speaker Dewan Rakyat, Pandikar Amin.
Walaupun kerajaan negeri belum membuat sebarang pengumuman rasmi, sumber memberitahu Malaysiakini bahawa Musa akan menjadi Yang di-Pertua Negeri yang baru, dan beberapa pihak telah mula mengucapkan tahniah kepada bekas ketua menteri itu di internet.
Sementara itu, Malaysiakini telah melihat pemberitahuan rasmi daripada Bahagian Istiadat dan Protokol Negeri Sabah yang dialamatkan kepada Pihak Berkuasa Lapangan Terbang Malaysia di Kota Kinabalu berhubung jadual ketibaan Musa Aman.
Surat itu merujuk kepada Musa, yang kini bergelar "Tan Sri", sebagai "Tun", gelaran yang biasanya dipegang oleh Yang di-Pertua Negeri.
Menurut notis itu, Musa dijangka tiba di Kota Kinabalu pagi Rabu ini. Satu sumber telah mengesahkan kesahihan surat itu kepada Malaysiakini.
Surat tersebut yang ditandatangani oleh Pengarah Istiadat dan Protokol, Shafaruddin Halide meminta persiapan dibuat di bilik VIP untuk acara ketibaan.
Kebangkitan Musa
Musa berkhidmat sebagai ketua menteri Sabah dari 2003 hingga 2018, di bawah pentadbiran BN.
Musa juga memainkan peranan penting dalam landskap politik Sabah semasa pilihan raya umum 2018.
Walaupun pada awalnya Musa mendakwa memiliki majoriti, kerajaannya tumbang selepas beberapa wakil rakyat berpaling tadah kepada parti saingannya, Warisan, yang menyaksikan Shafie Apdal dilantik sebagai ketua menteri.
Musa kemudiannya menghadapi 46 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan konsesi balak di Sabah.
Bagaimanapun, Musa dibebaskan pada Jun 2020 selepas pertuduhan ditarik balik oleh pihak pendakwaan.
Pada 2020, Musa mengatur rampasan kuasa terhadap kerajaan pimpinan Warisan di bawah kepimpinan Shafie.
Dia mendakwa telah memperoleh sokongan majoriti daripada Adun dan mengemukakan perkara itu kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah untuk mengambil alih semula kuasa.
Bagaimanapun, usaha itu gagal apabila Shafie memohon pembubaran DUN, yang mencetuskan pilihan raya mengejut.