Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hajiji: Bohong kalau parti politik tak terima dana politik
Diterbitkan:  Dec 15, 2024 4:46 PM
Dikemaskini: 8:46 AM

Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor menangani dakwaan skandal rasuah yang melanda pentadbirannya, dengan mencadangkan bahawa klip video yang bocor itu mungkin merujuk kepada derma politik.

Dalam klip video di Tik Tok, pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu menegaskan bahawa Adun pentadbirannya tidak pernah meminta rasuah.

"Tetapi bohonglah kalau setiap parti politik atau pemimpin politik tidak menerima dana politik daripada penyumbang-penyumbang.

Saya telah nyatakan kepada yang berhormat perdana menteri mengenai perkara ini pada minggu lepas.

"Semua tahu dana politik adalah tidak salah di dalam negara kita dan juga di negara-negara lain pun. Macam mana parti politik boleh bergerak kalau tidak sumbangan dana politik daripada mereka yang berkemampuan.

"Kalau harap wakil rakyat saja punya gaji, macam mana kita hidup. Makan pun tidak cukup," katanya.

Dalam video itu, yang dipercayai petikan ucapannya di acara Krismas, Hajiji juga mendakwa bahawa video itu adalah sebahagian daripada kempen yang dirancang untuk menjatuhkan pentadbirannya.

Ketua menteri itu mendakwa bahawa klip video berkenaan adalah sebahagian daripada kempen untuk menyebarkan pembohongan dan fitnah.

Hajiji juga mendedahkan bahawa dia "dimaklumkan" bahawa pemberi maklumat tidak mengaku memberi dakwaan rasuah apabila SPRM merekodkan kenyataannya.

"Bayangkan, dia dipanggil tetapi tidak mengaku," tambahnya.

Ini mendorong peguam pemberi maklumat Muhammad Shafee Abdullah mempersoalkan bagaimana ketua menteri menyedari kenyataan anak guamnya, yang terletak di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).

“Siapakah yang memaklumkan kepada ketua menteri bahawa anak guam saya tidak mengaku memberi rasuah apabila disoal SPRM, lebih-lebih lagi apabila maklumat ini dianggap sebagai rahsia rasmi?

“Untuk menjelaskan, anak guam saya tidak menafikan mahupun mengaku apa-apa. Dia menjawab secara neutral berikutan nasihat saya untuk mengelak mensabitkan diri sendiri,” katanya kepada Malaysiakini.

Shafee menyifatkan "pengakuan" ketua menteri itu sebagai "penyalahgunaan kuasa", khususnya dalam siasatan yang melibatkan pentadbirannya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS