Sebuah kisah kehidupan luar biasa terukir semalam di Penjara Kajang.
Murad (bukan nama sebenar), seorang bekas tahanan yang memulakan perjalanannya di sebalik jeriji besi lebih dua dekad lalu, kini melangkah keluar sebagai seorang manusia baru.
Malah, bukan sekadar bebas, tetapi membawa gelaran terhormat–doktor falsafah (PhD) dalam bidang pentadbiran perniagaan.
Kisah menarik ini dikongsi oleh Jabatan Penjara semalam selepas dia mendapat pengampunan diraja oleh Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah sempena hari keputeraan baginda semalam.
Murad, yang dihukum pada usia hanya 14 tahun, menghabiskan lebih daripada separuh hidupnya menjalani pemulihan sebagai Tahanan Limpah Sultan (TLS).
Seorang remaja bermasalah pada mulanya, dia akhirnya menemui tujuan hidup dalam tembok penjara.
Hanya pendidikan menjadi jalan pembebasannya, bukan hanya tubuh badan, tetapi juga minda dan jiwa.
Syahdu di hari pembebasan
Dalam suasana penuh emosi, waran pembebasan Murad dibacakan oleh Pengarah Penjara Kajang, Preshahdin Monshee.
Ketika kalimat terakhir diucapkan, air mata yang mengalir di pipi Murad bukanlah tanda kesedihan, tetapi luahan syukur yang mendalam.
“Dalam sesi tersebut juga, Murad menzahirkan kesyukuran dan menjunjung kasih kepada DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj diatas pengampunannya serta tidak dilupakan terutamanya Jabatan Penjara Malaysia kerana memberikan peluang dan ruang kepadanya untuk menyambung pengajian sehinggalah bergelar Doktor Falsafah.
“Tambahan Murad, segala jasa baik dari pihak Jabatan akan sentiasa dikenang dan percaya dengan peranan jabatan dalam memulihkan prospek sepertinya agar dikembalikan dengan lebih sempurna,” kata Jabatan Penjara.
Sejak awal hukuman, Murad memanfaatkan peluang yang diberikan oleh Jabatan Penjara untuk mendalami ilmu.
Bermula dengan pendidikan asas, dia akhirnya menyambung pelajaran hingga ke peringkat tertinggi, menjadikan dirinya prospek pertama bawah bimbingan Jabatan Penjara yang meraih gelaran PHD.