Pembebasan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi dalam kes dakwaan rasuah terkait Sistem Visa Asing (VLN) dikekalkan mahkamah hari ini.
Ketetapan itu dibuat selepas pihak pendakwaan memaklumkan Mahkamah Rayuan di Putrajaya bahawa mereka menarik balik rayuan mereka.
Dua tahun lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan Presiden Umno itu dibebaskan berikutan mendapati pendakwa gagal membuktikan kes prima facie ke atasnya.
Ahmad Zahid pula menyatakan kelegaannya apabila memuat naik hantaran ringkas di media sosial.
“Alhamdulillah…” katanya.
Prosiding hari ini diadakan di hadapan tiga hakim, diketuai Che Mohd Ruzima Ghazali.
Dua lagi hakim ialah Azman Abdullah dan Azmi Ariffin.
Yusaini Amer Abdul Karim pula bertindak sebagai timbalan pendakwa raya yang memaklumkan kepada mahkamah mengenai keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) menarik balik semua rayuan dalam kes tersebut.
Semasa prosiding mahkamah diberitahu bahawa AGC mengambil keputusan tersebut selepas memberi pertimbangan terhadap representasi dikemukakan Ahmad Zahid.
Pasukan pendakwa berkata mereka berpendapat ada asas mengikut undang-undang dan fakta kukuh untuk membiarkan keputusan mahkamah terdahulu tidak terganggu.
Mereka juga berkata tiada bukti menunjukkan Ahmad Zahid pernah menggunakan kedudukannya menganugerahkan kontrak yang dibangkitkan.
Bahkan, kata pihak pendakwaan lagi, kontrak itu diberikan sebelum Ahmad Zahid memegang jawatan menteri dalam negeri, sekali gus menunjukkan dia tidak menyalahgunakan kuasanya.
Dapat DNAA Sept tahun lalu
Pada 23 Sept 2022, Mahkamah Tinggi Shah Alam membebaskan Zahid daripada 40 pertuduhan rasuah yang dikaitkan dengan VLN.
Sebelum ini Ahmad Zahid didakwa dengan 33 pertuduhan menerima rasuah berjumlah SG$13.56 juta (RM43.6 juta) daripada Ultra Kirana Sdn Bhd menyambung kontrak syarikat terbabit - sebagai pengendali perkhidmatan pusat sehenti di China dan Sistem VLN - serta mengekalkan kontrak mereka dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi membekalkan sistem bersepadu itu.
Mengikut pertuduhan, Zahid didakwa melakukan kesalahan itu di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya dan Country Heights, Kajang, antara Okt 2014 dan Mac 2018.
Ahmad Zahid merupakan Menteri Dalam Negeri ketika itu.
Bagi baki tujuh pertuduhan, dia dikatakan memperoleh untuk dirinya sendiri wang tunai sebanyak SG$1,150,000, RM3 juta, 15,000 franc Swiss (RM70,000) dan AS$15,000 (RM68,000) daripada firma yang sama.
Ahmad Zahid didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Country Heights, Kajang, antara Jun 2015 dan Okt 2017.
Dia juga mengaku tidak bersalah atas 33 pertuduhan pilihan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan kerana didakwa menerima rasuah S$13.56 juta yang dikaitkan dengan sistem VLN, antara 2014 dan 2017.
Pada Sept tahun lalu pendakwa raya memohon untuk menggugurkan 47 pertuduhan rasuah Yayasan Akalbudi terhadap Ahmad Zahid, yang membawa kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas tanpa membebaskan (DNAA) Ahli Parlimen Bagan Datuk itu.