Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Skandal rasuah Sabah' - SPRM siasat pendedah maklumat
Diterbitkan:  Dec 9, 2024 5:09 PM
Dikemaskini: 9:09 AM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiasat pendedah maklumat yang mendakwa terdapat skandal rasuah membabitkan beberapa Adun Sabah.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata walaupun pihaknya telah merakam percakapan pendedah maklumat itu namun dia masih enggan menyerahkan bukti yang didakwa dimilikinya.

“Saya ingin tegaskan sekali lagi bahawa SPRM tidak boleh melindunginya selagi dia tidak beri apa yang dia ada.

“Saya tidak boleh beri jaminan perlindungan kepadanya sehingga dia memberikan semua keterangan (evidence). Dia beri kepada anda semua (media) tetapi tidak kepada SPRM," katanya seperti dipetik media selepas perasmian Hari Antirasuah Antarabangsa di Auditorium Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) di Kelana Jaya.

Sekiranya SPRM menyiasat pendedah maklumat berkenaan ia mungkin menimbulkan persoalan mengenai perlindungan saksi di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.

Dakwaan berlaku skandal rasuah di Sabah mula menjadi perhatian selepas sejumlah rakaman video yang mengaitkan beberapa Adun Sabah didedahkan oleh pembocor maklumat dan dilaporkan Malaysiakini.

Adun berkenaan didakwa menerima suapan untuk menyokong permohonan lesen prospek perlombongan.

Sebelum ini Ketua Pemuda Umno Dr Muhamad Akmal Saleh menggesa SPRM untuk menjelaskan status siasatan, termasuk siapa sebenarnya yang disiasat - sama ada Adun yang terlibat, pemberi maklumat atau kedua-duanya.

Dia juga mencadangkan agar Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor meletakkan jawatan sementara jika SPRM mendapati dakwaan rasuah terhadanya atau anggota pentadbirannya itu mempunyai asas.

Warisan, sebuah parti pembangkang di Sabah, turut mendesak agar SPRM menahan reman individu-individu yang terlibat bagi memudahkan siasatan.

Pada 6 Disember lalu Perdana Menteri Anwar Ibrahim dilapor mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor dan dua Adun negeri itu ketika dakwaan skandal rasuah terus menjadi perhatian di negara ini.

Menteri Kewangan Sabah, Masidi Manjun, mengesahkan pertemuan itu berlangsung di Putrajaya.

Hajiji telah berulang kali menolak dakwaan dia terlibat denngan rasuah dan pendedahan itu dianggap sebagai cubaan untuk menggugat kestabilan kerajaan sabah selain mencemarkan nama baiknya.

Anwar pula setakat ini belum memberikan reaksi terhadap isu pendedahan video tersebut.

Namun, sebelum ini perdana menteri menegaskan tiada sebarang perlindungan diberikan terhadap siasatan rasuah SPRM.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS