Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Saman saya' - Pemberi maklumat cabar ketua menteri Sabah, Adun

Pemberi maklumat yang mendedahkan video dakwaan rasuah di Sabah mencabar Ketua Menteri, Hajiji Noor dan wakil rakyat yang terlibat memfailkan saman terhadap dirinya atas tuduhan fitnah.

“Anak guam saya percaya mahkamah adalah platform terbaik untuk menyelesaikan pertikaian sama ada video ‘suntingan’ itu mengandungi elemen rasuah,” kata peguamnya, Muhammad Shafee Abdullah.

Shafee menjelaskan memandangkan ketua menteri dan beberapa wakil rakyat lain mendakwa video tersebut telah "disunting" dan tidak menggambarkan apa yang sebenarnya berlaku dalam perjumpaan tersebut, oleh itu anak guamnya berhasrat untuk menjelaskan keadaan.

“Beliau bersedia untuk mengemukakan rakaman penuh yang tidak disunting di mahkamah,” katanya kepada Malaysiakini.

“Anak guam saya juga akan menyediakan mahkamah dengan bukti lain yang dimilikinya, termasuk dokumen, butiran perbankan, dan tangkap layar mesej Whatsapp,” tambahnya.

Shafee berkata, jika kes ini diteruskan, mahkamah boleh meneliti rakaman lengkap dan bukti lain untuk menentukan sama ada anak guamnya telah memfitnah ketua menteri dan anggota pentadbirannya.

“Anak guam saya memberikan ketua menteri dan pentadbirannya peluang untuk membersihkan nama mereka dan memulihkan reputasi mereka di mahkamah terbuka, di bawah penelitian awam sepenuhnya,” katanya.

Shafee berkata, hal ini juga akan memberi peluang kepada pihak yang “terjejas” untuk membuktikan dakwaan mereka bahawa pemberi maklumat bertindak atas niat jahat atau mengatur kempen fitnah yang tidak berasas.

“Ini peluang mereka untuk membuktikan diri mereka dalam keadaan yang telus,” tambahnya.

Selain itu, Shafee berkata anak guamnya merasakan adalah lebih baik bagi ahli politik berkenaan membawa perkara ini ke mahkamah untuk mengelakkan persepsi kes itu dilindungi jika isu berkenaan diserahkan kepada SPRM.

Pada Rabu lalu, Hajiji menafikan dakwaan rasuah dengan mengatakan tujuh video yang didedahkan oleh pemberi maklumat tersebut sebagai “suntingan” dan menyifatkan dakwaan rasuah itu tidak berasas.

Pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu, yang dikritik oleh Umno dan Warisan, mengulangi bahawa video tersebut bertujuan untuk menggugat pentadbirannya.

Pemberi maklumat itu mendakwa tujuh video tersebut, yang dirakam menggunakan kamera pen, memaparkan perbincangan tentang rasuah yang diberikan kepada wakil rakyat untuk menyokong permohonannya bagi mendapatkan lesen cari gali mineral.

Individu itu mendakwa video tersebut telah dipendekkan untuk menunjukkan “bahagian penting iaitu (dakwaan) rasuah dan penyalahgunaan lesen perlombongan.”

“Saya memiliki rakaman penuh di mana perbualan berlangsung lama. Rakaman tersebut melebihi satu jam. Seperti yang disebut sebelum ini, saya bersedia untuk menyerahkan rakaman asal kepada SPRM. Saya juga bersedia menyerahkan pen tersebut sebagai bukti,” tambahnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS