Tanda tanya kesahihan batu bersurat yang ditemui di puncak Gunung Ledang di Johor kini terjawab apabila ia dimaklumkan hanya berstatus batu berukir.
Pengarah Perbadanan Taman Negara Johor, Taufik Bahar, berkata objek yang ditemui orang ramai di puncak gunung itu sebenarnya tidak tergolong dalam kategori batu bersurat.
Menurut Taufik, berdasarkan hasil semakan di Arkib Negara Malaysia Johor, pihaknya mendapati batu bersurat tersebut tidak mengandungi teks formal atau dokumen penting.
“Perbadanan Taman Negara Johor mengetahui kewujudan sebuah batu berukir di kawasan Gunung Ledang.
“Namun, batu ini tidak tergolong dalam kategori batu bersurat yang secara sejarah biasanya mengandungi teks formal atau dokumen penting.
“Melalui semakan dengan pihak berwajib seperti Arkib Negara Malaysia Johor, batu berukir ini dikenal pasti bukan batu bersurat yang mempunyai nilai sejarah atau dokumen rasmi,” katanya melalui kenyataan kepada Malaysiakini.
Mengulas tulisan yang tertera di batu itu, Taufik berkata ia lebih kepada catatan atau pun contengan yang dibuat orang ramai yang mendaki gunung terbabit.
“Ukiran ini sering kali berbentuk nama, tarikh, atau mesej peribadi sebagai tanda kenangan.
“Namun begitu, Perbadanan Taman Negara Johor mengalu-alukan pakar sejarah atau mana-mana pihak yang ingin menjalankan kajian terhadap batu berukir tersebut,” katanya.
Sebelum ini ada pihak menggesa Jabatan Warisan Negara segera menyiasat 'misteri' di sebalik batu bersurat yang ditemui di puncak Gunung Ledang.
Hal itu berlaku selepas timbul pertikaian sama ada objek tersebut benar-benar artifak purba atau sekadar goresan bebas pada era kemudian.
Ia juga dikaitkan dengan mitos Puteri Gunung Ledang, Hang Tuah dan raja Jawa dari kerajaan Demak.
Ada juga individu menggunakan media sosial memuat naik video dengan mendakwa ia tulisan Jawi lama, selain didakwa aksara kuno Kawi.