Sabah baru-baru heboh dengan pendedahan video yang memaparkan skandal rasuah melibatkan beberapa ahli politik negeri tersebut.
Pemberi maklumat, yang tidak mahu identitinya didedahkan, memberitahu Malaysiakini bahawa sebahagian besar bukti yang dikumpulkan adalah melalui pen kamera yang dibeli di Shopee.
“Ia berharga RM75.90,” kata pemberi maklumat itu yang telah menimbulkan “ribut” di Sabah.
Menggambarkan rakaman tersebut sebagai “langkah terdesak,” pemberi maklumat itu membekalkan Malaysiakini dengan gambar peralatan yang digunakan.
“Rasuah itu diberikan kerana saya diberitahu bahawa tiada pilihan lain dalam urusan perniagaan di Sabah.
“Apabila saya kehilangan lesen, saya berasa sangat marah dan putus asa kerana telah melabur banyak masa dan wang dalam proses mendapatkan lesen penerokaan mineral tersebut,” katanya.
Inspirasi untuk menggunakan kamera pen itu, katanya datang selepas menonton sebuah filem di Netflix.
“Saya mendapat idea menggunakan pen kamera itu daripada filem. Jadi saya mencarinya dalam talian dan menemuinya di (platform e-dagang) Shopee.
“Saya sedar risikonya, tetapi pada masa yang sama, ini adalah situasi ‘hidup atau mati’. Saya mahu memberi pengajaran kepada ahli politik ini.
“Ini bukan sahaja kes rasuah, ia satu penipuan,” tambahnya sambil menuding jari kepada Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor, yang telah menafikan dakwaan rasuah berkenaan serta memihak kepada kroni yang kononnya membiayai dana jentera politiknya.
Ahli perniagaan termiskin di Malaysia
Mendakwa bahawa “orang paling berani dan paling kejam adalah mereka yang telah kehilangan semua wang” pemberi maklumat itu berkata SPRM dialu-alukan untuk menyemak status kewangannya.
“Mereka boleh memeriksa baki bank saya. Saya adalah ahli perniagaan termiskin di Malaysia,” kata bapa kepada dua anak yang masih bersekolah itu.
Apabila ditanya sama ada tindakan merakam perbualan peribadi itu beretika, atau tidak, ini jawapannya.
“Adakah beretika bagi ahli politik meminta rasuah?“Saya telah beritahu ahli politik ini berkali-kali bahawa ini bukan wang saya semata-mata, wang itu datang daripada rakan kongsi usaha sama.
“Saya telah tandatangani perjanjian usaha sama. Saya mempunyai tanggungjawab besar, rakan kongsi boleh saman saya. Tetapi ahli politik itu tidak peduli tentang saya atau keluarga saya. Jadi mengapa saya perlu peduli tentang mereka atau etika?” soalnya.
Pada nota yang sama, katanya, dia juga menyedari bahawa ada pihak yang percaya dirinya tidak sepatutnya terlepas daripada tindakan undang-undang kerana memberikan rasuah yang didakwa itu.
“Saya tidak mahu membuat alasan. Tetapi beginilah perniagaan dijalankan di Malaysia. Tanya mana-mana ahli perniagaan, walaupun mereka yang bergelar Tan Sri atau tersenarai dalam Forbes.
“Anda perlu memberi rasuah dari atas hingga ke bawah.“Semakin besar perniagaan anda, semakin besar rasuahnya, semakin ‘besar’ juga orang yang perlu dibayar. Jika tidak, tutup kedai dan cari kerja biasa.
“Malah dengan kerja biasa sekalipun, ada yang membayar polis ‘duit kopi’ untuk mengelakkan saman lalu lintas. Adakah itu berbeza?” soalnya lagi.
SPRM boleh semak jika AI digunakan
Apabila ditanya jika video yang didedahkan itu telah disunting, pemberi maklumat tersebut berkata rakaman berkenaan dipotong untuk menyerlahkan “bahagian penting iaitu (dakwaan) rasuah dan penyalahgunaan lesen perlombongan.”
“Saya mempunyai rakaman penuh perbualan itu. Ia melebihi satu jam. Seperti disebutkan sebelum ini, saya bersedia untuk menyerahkan rakaman asal kepada SPRM. Saya juga bersedia menyerahkan pen ini sebagai bukti.“Pihak berkuasa juga boleh semak dengan pakar sama ada rakaman itu telah dimanipulasi menggunakan AI (kecerdasan buatan).
“Saya sedang berfikir untuk mendapatkan firma swasta yang bereputasi untuk mengesahkan video tersebut, sekadar berjaga-jaga sekiranya ada yang menggunakan alasan AI lagi. Saya merancang untuk berunding dengan Tan Sri mengenainya,” tambahnya merujuk kepada peguam veteran Muhammad Shafee Abdullah yang mewakilinya secara pro bono.
“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Tan Sri kerana bersetuju mewakili saya secara percuma selepas saya memberitahunya bahawa saya tidak mempunyai wang untuk yurannya,” katanya.
Apabila ditanya mengenai jumlah rakaman yang dimilikinya, pemberi maklumat itu enggan memberikan angka tepat tetapi mendakwa mempunyai lebih daripada sedozen yang melibatkan individu yang berbeza, termasuk ahli politik.Beliau enggan mengulas apabila ditanya jika dia bercadang untuk mendedahkan video lain.
Secara berseloroh pemberi maklumat itu berkata, susulan pendedahannya, ahli politik mungkin meminta ahli perniagaan meninggalkan pen mereka di luar semasa rundingan pada masa depan.“Tetapi ada juga kamera yang dipasang pada butang baju dan alat James Bond lain yang tersedia dalam talian.
“Siapa tahu, mungkin kes ini akan ditutup. Kadangkala, ‘bukti’ sahaja tidak mencukupi untuk tindakan ke atas ahli politik di Malaysia.“Tetapi mungkin ada hikmah di sebaliknya. Mungkin kes ini akan mengajar ahli politik untuk menepati janji mereka dan tidak menipu ahli perniagaan,” tambahnya.
Semalam, pemberi maklumat itu mengeluarkan tujuh video yang memaparkan beberapa Adun yang berbeza dalam setiap rakaman. Dia juga mendedahkan dokumen mengenai pengeluaran lesen eksplorasi mineral.