Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Pemberi maklumat skandal rasuah Sabah perlu diberi perlindungan’

Pemberi maklumat mengenai dakwaan skandal rasuah di Sabah perlu diberikan perlindungan di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010, kata bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

“Pemberi maklumat mesti diberi perlindungan, kalau tidak mereka tidak akan beri maklumat.

“Saya tak ikuti laporan (berkenaan isu) itu, tapi mana-mana pemberi maklumat mesti dilindungi jika tidak mereka tidak akan beri maklumat,” katanya kepada pemberita di Putrajaya, hari ini.

Pemberi maklumat itu, yang juga seorang ahli perniagaan, sebelum ini menuntut diberi kekebalan dari segi undang-undang sebagai pertukaran mendedahkan skandal yang mengundang perhatian ramai itu.

Selain rakaman video, dia mendakwa memiliki dokumen dan maklumat yang membuktikan dia telah memberi rasuah sejumlah Adun untuk menyokong permohonannya dalam mendapatkan projek penerokaan mineral.


Baca: PANDUANKINI | Siapa dan apa yang dilindungi Akta Perlindungan Pemberi Maklumat?


Sebelum ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menolak permohonan kekebalan tersebut, dengan menyatakan pemberi rasuah juga perlu disiasat.

"Jadi, jika ada maklumat yang samar-samar termasuk adakah individu pemberi maklumat itu turut terbabit dalam rasuah.

“Ia perlu diteliti dan disiasat, bukan terus memberi perlindungan kepadanya,” kata Anwar.

Pada 16 November lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata undang-undang Malaysia tidak memberi perlindungan secara automatik kepada pemberi maklumat.

"Pertama, seseorang tidak boleh mendedahkan maklumat kesalahan kepada umum dan kemudian memohon perlindungan pemberi maklumat.

"Kedua, seseorang yang terlibat dalam kesalahan yang didedahkannya, tak layak memohon perlindungan pemberi maklumat,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS