mk-logo
Berita
Misteri batu bersurat Gunung Ledang bakal terungkap

Jabatan Warisan Negara akan mengkaji kesahihan batu bersurat di puncak Gunung Ledang di Johor, maklum Timbalan Ketua Pengarahnya Mohamad Muda Bahadin.

Ini selepas timbul pertikaian jika batu bersurat itu benar-benar artifak kuno atau sekadar goresan kenang-kenangan dari tarikh yang lebih moden.

“Pihak Jabatan Warisan Negara tiada maklumat lanjut mengenai perkara ini.

“Bagaimanapun, kami akan membuat semakan dengan kumpulan kami dulu jika ada maklumat berkaitan,” katanya ringkas kepada Malaysiakini.

Gambar batu berukir tulisan di puncak Gunung Ledang.

Kewujudan batu bersurat berkenaan difahamkan telah diketahui sejak sekian lama oleh penduduk setempat, terutama malim gunung manakala beberapa penulis blog turut membuat catatan mengenainya sejak sedekad lalu.

Terdapat pelbagai mitos yang beredar mengaitkan batu bersurat itu dengan watak legenda Puteri Gunung Ledang, Hang Tuah dan raja Jawa dari kerajaan Demak.

Ada juga video pengguna media sosial yang mendakwa ia tulisan Jawi lama malah ada pula menspekulasikan ia aksara kuno Kawi.

Namun sehingga kini masih tidak jelas perkataan yang terukir di batu itu.

Gambar batu berukir tulisan di puncak Gunung Ledang.

Malaysiakini sedang mendapatkan maklum balas lanjut dari Pengurusan Taman Negara Ledang dan Persatuan Sejarah Johor.

Untuk rekod, beberapa batu bersurat pernah dijumpai di Malaysia.

Antaranya, batu bersurat Terengganu yang ditemui di Kuala Berang.

Batu bersurat Terengganu dianggarkan berusia lebih kurang 700 tahun ini dan tulisan Jawi pertama ditemui di Malaysia.

Sementara itu, batu bersurat Cerok Tok Kun di Bukit Mertajam, Pulau Pinang pula dianggarkan berusia lebih 1,600 tahun dengan tulisan Pallava dalam bahasa Sanskrit.

Prasasti Sungai Mas yang ditemui di daerah Kuala Muda, Kedah dipertarikhkan pada sekitar kurun ke-6 Masihi.

Sementara itu, batu bersurat Mahanavika Buddhagupta pula ditemui di Seberang Perai, di seberang sungai dari Kampung Sireh oleh pada tahun 1834.

Batu bersurat Mahanavika Buddhagupta (gambar bawah) kini dipercayai dalam simpanan Muzium India di Kalkota dan tidak dapat dipastikan bagaimana ia boleh sampai ke sana.

Batu bersurat Buddhagupta telah diteliti dan dibaca oleh penyelidik Chhabra dan Kern dari aspek epigrafi dan paleografi.

Batu bersurat tersebut telah dipertarikhkan pada penghujung kurun ke-7 Masihi oleh Chhabra manakala Kern mempertarikhkannya pada sekitar kurun ke-5 Masihi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS