Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lepas isu komunikasi, PM sekali lagi beri penjelasan isu kos perjalanan
Diterbitkan:  Nov 25, 2024 3:07 PM
Dikemaskini: 11:09 AM

Perdana Menteri Anwar Ibrahim dilihat berada dalam keadaan bertahan selepas kenyataannya di Parlimen mencetuskan persoalan mengenai dakwaan syarikat swasta membiayai perbelanjaan lawatan rasminya.

Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Anwar menjelaskan perbelanjaan bahagiannya untuk perjalanan tersebut ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan.

“Saya tidak guna dana syarikat swasta.

“Kerajaan guna penerbangan Malaysia Airlines (MAS) untuk lawatan empat negara dengan kos RM1.6 juta. Ini guna wang kerajaan sepenuhnya,” kata Anwar.

Anwar berkata baki tempat duduk dalam penerbangannya ditawarkan kepada syarikat swasta yang turut pergi ke negara-negara tersebut untuk tujuan pelaburan atau usaha sama.

“Syarikat ini bayar kos masing-masing, berjumlah RM4.5 juta,” katanya lagi.

Katanya lagi, dengan membahagikan kos untuk penerbangan sewaan khas berbanding menggunakan jet eksekutif kerajaan, kerajaan berjaya menjimatkan RM900,000.

“Saya ulang, kerajaan tidak guna dana syarikat swasta. Tiada perselisihan kepentingan. 

“Usah terperangkap dalam fitnah zaman edan,” kata Anwar.

Anwar mengulas laporan Sinar Harian pada Jumaat lalu yang memetik Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4 Center) yang membangkitkan persoalan jika pihak swasta yang membiayai penerbangan PM akan menuntut sesuatu sebagai balasan.

Jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil turut membuat penjelasan sama seperti Anwar pada Jumaat lalu, tetapi penjelasan itu nampaknya tidak mendapat perhatian meluas.

Awal pagi ini, CSO Platform for Reform turut mengeluarkan kenyataan yang menyuarakan kebimbangan pembiayaan oleh pihak swasta boleh menjejaskan integriti kerajaan.

Kenyataan asal PM di Dewan Rakyat

Tindak balas berhubung perkara ini dilihat berpunca daripada kenyataan asal Anwar di Dewan Rakyat pada Khamis lalu.

Ketika menjawab soalan mengenai kos perjalanannya ke luar negara, Anwar berkata kerajaan bekerjasama dengan syarikat swasta yang menuju ke destinasi sama sebagai langkah untuk mengurangkan perbelanjaan perjalanan.

"Kita jemput syarikat-syarikat terbabit…datang ikut dalam rombongan (negara). Mereka bayar tambang dan kos.

"Jadi maknanya kalau tak salah saya, sekitar 70-80 peratus kos penerbangan ditanggung oleh syarikat yang ada kepentingan perniagaan dan pelaburan kerana kerajaan bantu syarikat ini sama ada import dan eksport," katanya ketika itu.

Namun, Hansard Parlimen menunjukkan Anwar tidak menjelaskan yang syarikat swasta hanya membayar untuk bahagian perjalanan mereka, bukan untuk kerajaan sekali.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS