PAS membidas Perdana Menteri Anwar Ibrahim kerana membandingkan gred D yang diberikan Bersih terhadap kerajaan pimpinannya dengan peperiksaan UPSR.
"Kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang membandingkan gred ‘D’ oleh Bersih dengan “peperiksaan UPSR” adalah tidak matang dan tidak bertanggungjawab.
"Sebagai pemimpin tertinggi, beliau sepatutnya menerima kritikan dengan serius dan menunjukkan komitmen memperbaiki kelemahan pentadbiran,” kata Naib Presiden PAS, Amar Abdullah dalam satu kenyataan.
Amar berkata gred D yang diberikan Bersih jelas mencerminkan kegagalan kerajaan memenuhi janji reformasi yang dijanjikan kepada rakyat.
Tambahnya, sikap memperlekehkan kritikan hanya merosakkan kepercayaan rakyat terhadap kepimpinannya.
"Apa yang diperlukan bukan retorik atau gurauan, tetapi tindakan nyata yang membawa perubahan,” katanya.
Semalam, Anwar memperkecilkan penilaian pertengahan penggal oleh Bersih terhadap kerajaan, dengan menyatakan bahawa kerajaan akan memperoleh gred “A” dalam peperiksaan SPM.
“Tentang (penarafan) Bersih, tak apalah beri (kita gred) D, bukan F.
“(Kalau) UPSR D, (nanti) SPM esok naik A lah,” katanya.
Amar turut mempersoalkan kenyataan perdana menteri bahawa 70 hingga 80 peratus daripada kos berkaitan lawatan rasmi beliau ke lima negara ditanggung oleh syarikat swasta yang menyertai rombongan tersebut.
Anwar berkata, pendekatan itu dilaksanakan di bawah pentadbirannya bagi memastikan perbelanjaan lawatan rasmi ke luar negara diuruskan dengan cekap.
Namun, pemimpin PAS itu berkata, tindakan menerima tajaan syarikat swasta untuk lawatan rasmi membuka ruang kepada konflik kepentingan dan menjejaskan integriti kerajaan Madani.
"Ia juga mencetuskan persepsi bahawa keputusan kerajaan boleh dipengaruhi oleh kepentingan pihak penaja, sekali gus menghakis keyakinan rakyat.
"Lebih membimbangkan, amalan ini memberi contoh buruk kepada penjawat awam. Ia berpotensi mewujudkan budaya kronisme dan rasuah dalam pentadbiran, merosakkan kepercayaan kepada institusi kerajaan,” tambahnya.
Semalam, ahli parlimen Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, menggesa perdana menteri mendedahkan syarikat-syarikat yang menaja lawatan tersebut.
"Perdana menteri kata 80 peratus ditanggung (pihak) swasta. Siapa dan apa kepentingan mereka? Satu lagi contoh tatakelola yang merosakkan.
"Apakah sah di sisi undang-undang?" soalnya.
Ahli Parlimen Machang itu turut mempersoalkan perbelanjaan perjalanan bekas Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, yang dilihat menemani bapanya dalam acara rasmi semasa lawatan ke luar negara.