Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kritik pemilihan U Mobile - PKR heret Hassan ke lembaga disiplin

Ahli Parlimen Pasir Gudang sedang berdepan dengan jawatankuasa tatatertib PKR susulan kritikannya terhadap kerajaan baru-baru ini.

Malaysiakini difahamkan ahli parlimen lantang PKR itu diheret ke jawatankuasa itu kerana mengkritik keputusan kerajaan dalam pelantikan syarikat U Mobile sebagai pengendali rangkaian 5G kedua. 

Menurut sumber, Hassan akan disiasat berhubung dakwaan menghina Yang di-Pertuan Agong yang memiliki saham kedua terbesar dalam U Mobile di samping mengkritik Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

Kata sumber itu, PKR beranggapan Hassan merosakkan imej parti apabila membuat kenyataan kritikal secara terbuka itu.

Ketika dihubungi, Hassan mengesahkan perkara itu tetapi enggan mengulas lanjut.

"Memang benar," katanya dalam mesej teks ringkas.

"Lebih baik dapatkan butiran daripada lembaga disiplin. Siasatan akan bermula tidak lama lagi. Saya sekarang di ibu pejabat PKR di PJ," kata Hassan ketika ditanya butiran lanjut.

Fuziah Salleh

Setiausaha Agung PKR Fuziah Salleh ketika dihubungi berkata tindakan tatatertib itu diadakan berikutan aduan yang diterima parti terhadap Hassan daripada beberapa anggota majlis pimpinan pusat.

“Terdapat aduan dibuat oleh ahli MPP (majlis pimpinan pusat) berhubung Hassan Karim dan kenyataan terbukanya.

"Oleh itu saya telah ajukan aduan kepada lembaga disiplin, supaya perkara itu dapat disiasat dan rungutannya boleh dibincangkan dalam mekanisme dalaman parti," katanya kepada Malaysiakini.

Bagaimanapun, Fuziah berkata dia tidak mengetahui sama ada lembaga itu telah memanggil Hassan atau tidak kerana ia berfungsi secara bebas.

Awal bulan ini, Hassan menerusi satu kenyataan di media sosial yang juga disiarkan oleh Malaysiakini dengan judul Rangkaian kedua 5G dan munculnya lagi kapitalis kroni mendakwa pentadbiran kerajaan hari ini juga mulai terjebak dengan kesilapan membina kapitalis kroni.

“Kapitalis kroni di zaman PM Anwar Ibrahim agak luar biasa. Golongan ini tidak ramai tetapi amat menonjol. 

“Golongan ini agak kebal dan tidak mudah disentuh kerana dilindungi oleh momokan undang-undang yang bernama 3R,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS