Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Penilaian pertengahan penggal: Anwar, k’jaan Madani dapat gred D

Bersih memberikan pentadbiran pimpinan Anwar Ibrahim gred D bagi penilaian pertengahan penggal kerajaan Madani yang prestasi buruknya dikaitkan dengan kegagalan melaksanakan reformasi institusi dengan ketara.

Dalam pembentangan yang menurut Bersih sebagai kad laporan kerajaan malam semalam, kumpulan reformasi pilihan raya itu turut meletakkan Anwar di belakang pendahulunya Ismail Sabri Yaakob dan Dr Mahathir Mohamad dalam menunaikan janji reformasi mereka.

Pengerusi Bersih, Faisal Aziz berkata penilaian mereka berhubung dua tahun pertama kerajaan mendapati terdapat jurang yang ketara antara janji reformasi dan pelaksanaan sebenar.

Penilaian itu, yang menggabungkan dua bahagian - menunaikan komitmen manifesto dan perbandingan dengan pentadbiran terdahulu - kembali dengan kerajaan Madani mencatatkan jumlah 45.8 peratus, katanya.

Kebebasan awam Madani merosot

"Kerajaan menunjukkan prestasi di bawah jangkaan dalam kedua-dua bahagian. Dalam (seksyen) Pembaharuan Pilihan Raya, tidak ada kemajuan bermakna dalam isu-isu utama seperti penyelewangan bahagian pilihan raya, gerrymandering, atau memperkenalkan pengundian tanpa hadir untuk pengundi luar negara atau negeri, walaupun di sebalik janji semasa kempen untuk menangani perkara ini.

"Kerajaan gagal untuk memulakan dasar untuk memastikan perwakilan yang adil, dan membiarkan janji reformasi pilihan raya penting tidak ditangani. Akta Pembiayaan Politik dan pindaan kepada Akta Kesalahan Pilihan Raya masih tidak lengkap, menimbulkan keraguan tentang komitmen kerajaan terhadap pilihan raya yang telus dan adil," kata Faisal.

Walaupun Putrajaya mencapai "kemajuan tambahan" dari segi reformasi institusi, Bersih berkata agenda reformasi utama masih tidak dipenuhi atau terbengkalai.

Ini termasuk untuk memisahkan peranan peguam negara dan pendakwa raya, dan untuk memberi kuasa pengawasan parlimen dalam pelantikan ketua institusi utama seperti SPRM dan Suruhanjaya Pilihan Raya.

Kerajaan Madani juga didapati merosot dalam bidang kebebasan awam dengan Bersih mengkritik kegagalannya untuk memansuhkan atau meminda undang-undang yang menindas seperti Akta Hasutan.

"Aktivis dan tokoh pembangkang terus menghadapi gangguan di bawah undang-undang ini, bercanggah dengan retorik reformis kerajaan. Sedikit kemajuan  dicapai dalam menubuhkan majlis media bebas atau meningkatkan kebebasan akademik."

Ismail Sabri dapat markah tertinggi

Mengikut penilaian kumpulan itu apabila membandingkan pencapaian Anwar dengan empat perdana menteri sebelum ini, Bersih menyenaraikan Najib Razak di bahagian bawah sekali manakala Ismail Sabri diberi markah teratas.

Anwar pula diletakkan di tengah-tengah antara Mahathir (tempat kedua) dan Muhyiddin di tangga kedua terbawah.

Dalam justifikasinya, Bersih berkata Ismail Sabri dan Mahathir dalam tempoh kedua sebagai perdana menteri telah memenuhi lebih banyak agenda reformasi berbanding Anwar dalam tempoh dua tahun berkuasa.

Kumpulan itu berkata Ismail Sabri berjaya mencapai pembaharuan yang ketara dalam tempoh singkatnya iaitu 15 bulan walaupun menerajui pentadbiran yang tidak stabil, termasuk menandatangani memorandum persefahaman dengan pembangkang.

MoU itu telah membawa kepada sokongan bipartisan untuk pembaharuan, termasuk meluluskan undang-undang anti-lompat parti, tambahnya.

Mahathir lebih baik

“Lebih-lebih lagi, Ismail Sabri memastikan pengagihan dana pembangunan kawasan pilihan raya secara saksama kepada ahli parlimen kerajaan dan pembangkang, langkah utama dalam memupuk kerjasama dwipartisan.

"Sebaliknya, pentadbiran Anwar Ibrahim masih belum dapat memperoleh perjanjian reformasi dwipartisan yang setanding untuk melaksanakan reformasi pilihan raya dan demokrasi," kata Bersih.

Mengenai kedudukan Mahathir satu tangga di atas Anwar, kumpulan itu menyebut pencapaian demokrasi semasa dia berkhidmat termasuk penubuhan Jawatankuasa Pembaharuan Institusi dan Jawatankuasa Pembaharuan Pilihan Raya yang dikatakan telah meletakkan asas untuk pembaharuan lebih luas.

“Sebagai perbandingan, pentadbiran Anwar tidak mewujudkan struktur institusi serupa dengan mandat, kuasa dan peruntukan sedemikian. Ia menimbulkan persoalan tentang strateginya dalam perancangan reformasi.

"Walaupun kerajaan Perpaduan telah memperkenalkan langkah-langkah seperti Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSSC) yang dipertingkatkan, ia tidak mempunyai rangka kerja institusi yang komprehensif yang mencirikan pendekatan Mahathir untuk meneruskan reformasi dalam tempoh 22 bulan itu."

Walaupun Najib berada di kedudukan terbawah dalam senarai reformasi itu, Pengarah Eksekutif Bersih Ooi Kok Hin menyatakan bahawa perdana menteri yang dipenjarakan itu sebenarnya menunjukkan prestasi yang lebih baik berbanding Anwar. Antara lain, katanya, Najib telah memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Ini dibandingkan dengan "reformis" Anwar yang masih belum memansuhkan undang-undang yang menindas seperti Akta Hasutan dan Akta Komunikasi dan Multimedia.

Bagaimanapun, Ooi berkata, prestasi Najib merudum terutamanya disebabkan tindakannya selepas itu yang menjejaskan kebebasan institusi awam.

Kenapa terus guna Sosma?

Sementara itu, dalam forum selepas pelancaran kad laporan malam tadi, bekas pengerusi Bersih Maria Chin menyatakan kebimbangannya terhadap tindakan kerajaan meneruskan penggunaan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 atau Sosma.

Maria Chin

Sebagai bekas tahanan Sosma, bekas ahli parlimen Petaling Jaya itu berkata, adalah mengganggu melihat undang-undang yang menindas tersebut digunakan ke atas kumpulan Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) baru-baru ini.

“Kalau kita nak batal Sosma dari buku undang-undang kita, kenapa kita masih terus guna Ssosma?

“Ada banyak juga reformasi yang sedang dilakukan, tetapi kerajaan juga salah faham seperti yang berlaku kepada rang undang-undang kewarganegaraan.

"Mereka benar-benar merosakkannya. Yang janji satu saja, beri hak pada wanita beri kewarganegaraan pada anak-anak, tapi mereka tambah (peruntukan lain) yang lebih menindas,” katanya kepada forum yang dianjurkan selepas itu.

‘Anwar selesa dengan kuasa yang banyak’

Thomas Fann, seorang lagi bekas pengerusi Bersih, percaya pentadbiran pimpinan Anwar hanya menggunakan alasan kerajaan perpaduan sebagai alasan untuk tidak melakukan pembaharuan yang mereka janjikan.

Thomas Fann

Menurut Fann, Anwar sebagai perdana menteri berada dalam kedudukan untuk mempengaruhi perubahan tetapi keberatan untuk melepaskan banyak kuasa yang dimiliki oleh pejabatnya.

"Kita perlu terus mendesak (kerajaan). Kuasa harus dikongsi, parlimen harus bebas untuk berfungsi sebagai semak dan imbang dan badan kehakiman mesti bebas untuk membela rakyat.

"PMX hanya menikmatinya (kuasa yang) terlalu banyak, saya fikir," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS