Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Video rasuah: GRS perlu lawan fitnah sebelum ia 'racuni fikiran rakyat' - Hajiji
Diterbitkan:  Nov 17, 2024 8:28 PM
Dikemaskini: 12:28 PM

Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor menggesa parti komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) agar meningkatkan usaha melawan fitnah, yang didakwanya dibuat untuk menjatuhkan kerajaan negeri itu.

Kenyataan itu di tengah skandal rasuah mengaitkan Hajiji dan beberapa Adun dalam kerajaan negeri.

"Apa yang saya maksudkan ialah taktik kotor pembangkang serta konco-konco mereka yang bersekongkol ingin menjatuhkan kerajaan GRS-PH Plus melalui sebaran fitnah, pelbagai tuduhan dan pembohongan terhadap kerajaan negeri dan kepimpinan parti.

"Inilah cabaran semasa yang wajib kita perangi habis-habisan, kerana ia boleh meracuni pemikiran rakyat untuk membenci kerajaan dan kepimpinan parti, lebih-lebih lagi dalam era teknologi serba canggih sekarang, di mana media sosial dan AI telah menguasai kehidupan seharian rakyat,” katanya seperti dipetik Sinar Harian, hari ini.

Justeru, katanya lagi, parti komponen GRS perlu lebih berhati-hati dalam mendepani cabaran yang disifatkannya sedang menguji daya tahan gabungan itu.

Hajiji berkata demikian ketika berucap di mesyuarat agung Parti Liberal Demokratik (LDP) di Kota Kinabalu, hari ini.

Hari ini juga Malaysiakini menyiarkan artikel yang memetik Bekas CEO Sabah Mineral Management (SMM) Sdn Bhd Jontih Enggihon yang mendakwa dia memiliki bukti untuk menyokong dakwaannya bahawa Hajiji “menyalahgunakan kuasa”.

Sebelum ini Jontih mendakwa Hajiji masuk campur dalam proses permohonan lesen penerokaan mineral (PL).


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS