Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pengiktirafan UEC tak akan jejaskan perpaduan, kata Gerakan
Diterbitkan:  Nov 17, 2024 8:00 PM
Dikemaskini: 12:00 PM

Presiden Gerakan Dominic Lau tidak bersetuju dengan pandangan Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria yang pengiktirafan terhadap Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) akan menjejaskan perpaduan.

Bercakap pada sidang media selepas konvensyen kebangsaan Gerakan ke-52 hari ini, Lau berkata isu pendidikan tidak seharusnya dipolitikkan.

“Gerakan berpegang kepada Perlembagaan Persekutuan, yang merupakan rangka panduan untuk kita.

“Bagi kami, UEC bukanlah penghalang kepada integrasi dan perpaduan nasional,” katanya seperti dipetik Free Malaysia Today.

Lau juga menyangkal dakwaan yang pelajar lepasan UEC dan pelajar sekolah vernakular lemah dalam bahasa Malaysia.

UEC adalah peperiksaan sekolah tinggi persendirian Cina yang bersamaan dengan SPM.

Semalam, Razman memuat naik video di laman Facebooknya dengan iringan kata-kata: “Mustahil untuk Malaysia ke arah integrasi nasional andainya UEC semakin diberi tempat di tanah air ini”.

Ancam ‘penguasaan Melayu’

Dalam wawancara bersama Malaysiakini minggu lalu, Razman mendakwa gesaan agar UEC diiktiraf membolehkan masyarakat bukan Melayu memperoleh kekuasaan yang tidak sepatutnya di Malaysia.

Bagaimanapun, pemimpin Bersatu Azmin Ali semalam berkata isu pengiktirafan UEC tidak seharusnya dipolitikkan.

Kata Azmin, ketika menjadi menteri besar Selangor dia tidak teragak-agak untuk mengiktiraf UEC bagi kemasukan ke Universiti Selangor.

Pada tahun lalu, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata tiada perancangan untuk mengiktiraf UEC, berdasarkan dasar pendidikan negara dan peruntukan dalam Akta Pendidikan 1996.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS