Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Pelaksanaan reformasi tak memuaskan, hanya retorik - Zaid
Diterbitkan:  Nov 17, 2024 1:38 PM
Dikemaskini: 5:38 AM

Bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri (hal ehwal undang-undang) Zaid Ibrahim menyifatkan janji melaksanaka reformasi yang dibuat kerajaan Madani sebagai retorik semata-mata.

Dalam satu wawancara dengan Mingguan Malaysia, Zaid ditanya mengenai prestasi Kerajaan Perpaduan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang disifatkannya sebagai tidak memuaskan.

"Hasrat reformasi ini ada tetapi, pelaksanaannya tidak memuaskan. Kadang-kadang, kerajaan atau ahli politik bercakap tentang reformasi sebab mahu dapat undi rakyat, tetapi kita (ahli politik) pun tidak percaya. Hanya retorik.

"Mungkin juga apabila kerajaan buat reformasi, rasa ‘berbahaya’ bagi mereka.

"Jika kerajaan telus sangat, banyak perkara terbongkar, jika laksana reformasi institusi ada semak imbang terlalu ketat, maka, kuasanya akan tergores dan tersekat," katanya lagi.

Menurutnya, menteri-menteri kabinet tidak banyak interaksi menerangkan perkara di bawah kementerian masing-masing.

"Selalunya, yang bercakap ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atau Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

"Rakyat mahu tahu juga perincian Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli melaksana subsidi, cara potongannya bagaimana? Hutang kerajaan Persekutuan sekarang RM1.24 trilion tetapi, kita (kerajaan) ‘berjoli’ (berfoya-foya).

"Rakyat mahu tahu mengapa kerajaan berbelanja banyak sangat? Soal ketelusan, banyak hal berlaku tetapi rakyat tidak tahu sebabnya," katanya.

Selain itu Zaid berkata dia tidak melihat sebarang reformasi yang cuba dibawa oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan reformasi institusi), Azalina Othman Said.

"Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said saya lihat tiada reformasi pun dilakukan. Semasa pentadbiran Barisan Nasional (BN), ada juga reformasi walaupun tidak cakap banyak soal itu," ujarnya.

Bagaimanapun kata Zaid, terdapat dasar baik lain yang diperkenalkan kerajaan, namun ia bukanlah reformasi seperti yang dijanjikan sebelum ini.

Pada 4 Okt lepas, Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia Berkenaan Integriti, Governans dan Anti Rasuah (KRPPM-IGAR) melahirkan kebimbangan terhadap perkembangan sekurang-kurangnya empat cadangan pembaharuan institusi dan sistem perundangan.

Pengerusi kumpulan itu, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, salah satu perkara yang gagal dibawa ke Dewan Rakyat tahun ini ialah penggubalan semula Akta Perkhidmatan Parlimen, yang dimansuhkan secara rasmi pada 1992.

Kerajaan sebelum ini mencadangkan lapan pembaharuan undang-undang dan institusi. Empat daripadanya, termasuk PSA, diberi keutamaan untuk dilaksanakan dalam tempoh dua tahun pertama berkuasa.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS