Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, berkata masyarakat di negara ini sering salah faham mengenai prosedur undang-undang berkaitan pendedahan maklumat.
Dia menjelaskan undang-undang di negara ini tidak seperti Amerika Syarikat dan perlindungan tidak diberikan secara automatik.
"Pertama, seseorang tidak boleh mendedahkan maklumat kesalahan kepada umum dan kemudian memohon perlindungan pemberi maklumat,” katanya.
Azam berkata, ini kerana pemberi maklumat mungkin telah mendedahkan identiti mereka tetapi maklumat tersebut belum disahkan.
Justeru, katanya adalah tidak munasabah untuk mengharapkan pihak berkuasa memberikan perlindungan sebelum sebarang laporan rasmi dibuat dalam kes sedemikian.
"Kedua, seseorang yang terlibat dalam kesalahan yang didedahkannya, tak layak memohon perlindungan pemberi maklumat,” tambahnya, merujuk Seksyen 11(1) Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.
Dia berkata demikian semasa menghadiri satu acara di lapang sasar Kolej Penjara Malaysia di Kajang, Selangor.
Malaysiakini baru-baru ini melaporkan mengenai rakaman perbincangan “rasuah” melibatkan Adun sebuah negeri yang didedahkan seorang pemberi maklumat.
Minggu lepas, Azam memberitahu Malaysiakini bahawa pemberi maklumat berkenaan perlu membuat aduan rasmi kepada suruhanjaya itu bagi membolehkan proses perlindungan di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat.
Dia berkata, adalah terlalu awal untuk menjamin perlindungan sebelum perkara itu dilakukan.
Sementara itu, Azam berkara pemberi maklumat perlu memenuhi beberapa syarat yang ditetapkan dalam Akta Perlindungan Pemberi Maklumat sebelum diberi perlindungan.
Dia turut menegaskan bahawa Seksyen 25 Akta SPRM menghukum individu yang tidak melaporkan maklumat.
Mereka yang didapati bersalah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 dan/atau hukuman penjara sehingga 10 tahun.
"Manakala, kegagalan untuk melaporkan permintaan atau memperolehi suapan juga boleh dihukum dan dipenjara," katanya.
Dalam sidang media selepas acara itu, Azam berkata dia hanya menonton video berkaitan kes tersebut yang tersebar di media sosial.
Sebagai ketua agensi penyiasat, Azam berkata pihaknya tidak boleh bergantung kepada kandungan media sosial semata-mata.
Selain itu, katanya dia hanya mendengar klip audio berkenaan selama 17 saat.
"Jadi saya tak boleh komen sangat tentang siapakah Adun berkenaan dan sebagainya,” katanya.
Sabtu lalu (9 Nov), Malaysiakini melaporkan portal berita itu itu menyaksikan lapan video, yang setiap satu memaparkan Adun berlainan membincangkan ”rasuah” untuk menyokong projek di negeri mereka.
Portal berita itu juga ditunjukkan dokumen berkaitan projek tersebut serta butiran perbankan dalam talian yang melibatkan dakwaan rasuah itu.
Bagaimanapun sumber menyatakan pemberi maklumat itu bersedia mendedahkan maklumat berkenaan, tetapi mahu mendapatkan perlindungan di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat.
Pemberi maklumat tersebut kemudiannya mengakui dia adalah pemberi rasuah.
Dia juga menghantar surat kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk meminta diberikan perlindungan, tetapi ditolak oleh perdana menteri yang menggesa pihak berkuasa turut menyiasat pemberi rasuah tersebut.
Selepas itu, pemberi maklumat berkenaan menulis surat terbuka kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar untuk memohon baginda meneliti bukti yang dimilikinya dan memutuskan sama ada dia perlu diberikan perlindungan.
Semasa meneruskan usaha mendapatkan perlindungan undang-undang itu, pemberi maklumat tersebut mendakwa menerima ancaman bunuh, yang mendorongnya membuat laporan polis.