Pengerusi Perhubungan Umno Sabah Bung Moktar Radin menggesa pihak berkuasa menyiasat pemberi dan penerima rasuah dalam siri klip video yang didakwa menunjukkan ahli politik Sabah terlibat dalam perbuatan rasuah.
Bung Moktar menegaskan bahawa Umno Sabah tidak terlibat dalam skandal berkenaan.
"Cuma kita melihat ada kepentingan untuk pihak berkuasa menyiasat mereka yang dituduh," katanya seperti dilapor Sinar Harian.
"Sekarang ini saya nampak pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menuduh ada perasuah. Jadi, jika ada perasuah, bermakna ada orang yang dirasuah. Bermakna kedua-dua pihak ini perlu dilihat oleh SPRM.
“Mana-mana YB terlibat, maka panggillah, siasatlah,” tambahnya.
Bung nampaknya mengambil pendirian yang agak berbeza dengan Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor, yang pada 12 Nov, berkata dia akan bekerjasama dengan pihak berkuasa berhubung dakwaan itu tetapi menggesa “pemberi rasuah” itu ditangkap dan disiasat terlebih dahulu.
Sejak 9 Nov, Malaysiakini telah menerbitkan klip video dari pemberi maklumat - yang didakwa menunjukkan ahli politik Sabah terlibat dalam perbuatan rasuah.
Pemberi maklumat itu merayu kepada SPRM untuk memberikannya imuniti daripada pendakwaan sebelum menyerahkan bukti kepada pihak berkuasa bagi tindakan selanjutnya.
Bagaimanapun, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata dia tidak dapat memberikan jaminan bertulis mengenai perkara itu.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim juga menegaskan bahawa perasuah tidak akan diberi perlindungan.
Mengenai dakwaan video itu mungkin dihasilkan menggunakan kecerdasan buatan, Bung berkata siasatan mesti dijalankan terlebih dahulu.
Ahli Parlimen Kinabatangan itu berkata demikian sebagai respons kepada Adun Sabah Yusof Yacob yang berkata video itu mungkin dihasilkan menggunakan AI.
Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi yang juga presiden Umno hari ini dilaporkan mempertahankan kenyataan Hajiji berhubung pendedahan itu - dengan menggesa SPRM untuk menyiasat perkara berkenaan.
“Saya telah meneliti laporan-laporan media tentang rakaman perbualan tersebut, dan mendapati pendirian Hajiji harus menjadi pegangan kepada pemimpin parti lain," kata Zahid.
Hajiji sebelum ini berkata kerajaan negeri sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak khususnya SPRM berhubung dakwaan pemberi maklumat itu namun menggesa agar pemberi rasuah juga disiasat.
“Kami minta pihak berkuasa untuk menyiasat. Kami akan beri kerjasama, tapi siasat juga (pihak) yang memberi rasuah.
"Itu pemberi rasuah ada niat tidak baik untuk dapatkan sesuatu daripada kerajaan, apabila tidak dapat, inilah keluar (rakaman audio).
"Jadi bagi saya, untuk lebih adil, tangkap dia dan siasat dia dulu," katanya.