Sebuah NGO hari ini membuat laporan polis ke atas bekas CEO Sabah Mineral Management (SMM) Sdn Bhd Jontih Enggihon atas dakwaan Hajiji Noor menyalahgunakan kuasanya selaku ketua menteri Sabah.
Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) Andie Zulkarnain Baharuddin Mahdar berkata tuduhan terhadap Hajiji itu sebagai fitnah dan berniat jahat.
"Saya secara peribadi amat mengenali Hajiji, walaupun saya bukan ahli GRS dan tidak ada kepentingan. Hajiji dengan pemimpin lain di Sabah jauh berbeza.
"Kita nampak Hajiji sebenarnya tak campur apa-apa urusan. Tuduhan yang Hajiji menekan bekas CEO, beri kontrak kepada orang pilihan dia - saya cukup yakin ia fitnah.
"Dia tuduh tapi apa buktinya? Kita nak polis tegas dalam hal ini, panggil dia (Jontih) dan minta bawa bukti," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Balai Polis Sri Petaling, hari ini.
Dua hari lalu, seorang pemberi maklumat mengeluarkan video yang memaparkan dakwaan dan ketidakpuasan hati Enggihon terhadap Hajiji.
Dalam video itu, Enggihon antaranya mendakwa keputusan-keputusan berkaitan syarikat kerajaan negeri yang dipengerusikan Hajiji sangat dipengaruhi politik.
Enggihon berkata dia tidak setuju dengan banyak keputusan yang dibuat, tetapi terpaksa mematuhinya.
Video itu adalah tambahan kepada lapan video perbualan rasuah melibatkan lapan Adun di negeri itu.
Laporan terhadap pemberi maklumat
Sementara itu, Zulkarnain berkata dia telah membuat satu lagi laporan polis hari ini terhadap Enggihon dan pemberi maklumat yang membuat pendedahan berkenaan skandal tersebut.
"Laporan polis berkenaan dua individu yang didakwa telah bersuhabat untuk mengambil projek daripada SMM, termasuk pemberi maklumat itu.
"Wujud juga dakwaan yang mereka (Enggihon dan pemberi maklumat) tak puas hati (antaranya kerana) Jawatan CEO tak disambung, sehingga wujudnya ugutan," dakwanya.
Zulkarnain juga berkata dia akan ke SPRM esok untuk membuat laporan kepada dua individu itu.
"Kami ada sedikit dokumen yang mungkin boleh bantu SPRM untuk siasat Enggihon dan individu (pemberi maklumat) yang terlibat," katanya.
Berkenaan rakaman video perbincangan rasuah yang didedahkan minggu lalu, Hajiji telah berkata dia akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuas, namun mahu "pemberi rasuah" ditangkap terlebih dulu.