PARLIMEN | Ahli Parlimen pembangkang menyokong usaha Anwar Ibrahim dalam menggesa Israel disingkirkan daripada PBB, namun pada masa sama membangkitkan jawapan perdana menteri itu berkenaan hak Israel untuk mempertahankan diri sebelum ini.

Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) berkata cadangan penyingkiran itu adalah sesuatu yang perlu bagi menegaskan pendirian Anwar berkenaan Israel.

"Kita menyokong usaha kerajaan, khususnya perdana menteri yang membawa usul untuk membawa keluar negara haram Israel daripada PBB. 

"Ini tindakan yang cukup berani, sebagai sebuah negara kecil dan agak kerdil kita membuat pendirian seperti ini…merupakan perkara yang boleh dibanggakan," katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2025 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat hari ini.

Bagaimana Ahmad Fadhli yang juga ketua penerangan PAS membangkitkan kenyataan Anwar ketika wawancara CNN yang menurutnya bercanggah dengan pendirian kerajaan.

Dia berkata, sesuatu yang bercanggah apabila Anwar bersetuju yang Israel ada hak untuk mempertahankan dirinya.

Dia merujuk wawancara Anwar dengan hos CNN, Richard Quest baru-baru ini, dimana dia ditanya jika Israel ada hak untuk wujud dan mempertahankan diri.

Anwar secara ringkas menjawab “ya”.

"Dengan hanya pperkataan ini sahaja saya kira sangat mengelirukan. Ia boleh jadi kerana diprovokasi oleh wartawan kerana suasana pada waktu itu. 

"Tetapi dalam keadaan sekarang, Israel tidak ada langsung hak untuk wujud dalam dunia ini pada hari ini," kata Ahmad Fadhli lagi.

Dalam wawancara itu, Anwar antaranya turut menyuarakan bantahannya terhadap keganasan oleh mana-mana pihak, serta mengkritik media Barat yang disifatkannya sebagai berat sebelah dalam liputan konflik Palestin-Israel.

Syed Ibrahim Syed Noh

Perkara sama turut dibangkitkan Syed Ibrahim Syed Noh (PH- Ledang) yang risau jika jawapan itu dimanipulasi sehingga menampakkan kerajaan tidak konsisten dalam memperjuangkan rakyat Palestin.

“Saya juga ingin menyatakan kekesalan, keliru, terguris hati apabila ucapan oleh perdana menteri ketika diwawancara CNN semalam apabila wartawan menyatakan adakah israel (ada hak untuk) wujud dan perlu mempertahankan diri, perdana menteri mengatakan ‘ya'. 

“Saya risau jika ucapan ini dimanipulasi. 

“Orang akan lihat kita  tak konsisten dalam mengutuk kekejaman Israel dan memperjuangkan kemerdekaan Palestin yang mutlak," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS