Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
PANDUANKINI | Siapa dan apa yang dilindungi Akta Perlindungan Pemberi Maklumat?

PANDUANKINI | Pendedahan terkini seorang ahli perniagaan berkenaan dakwaan rasuah melibatkan sejumlah Adun Sabah mencetuskan perdebatan mengenai isu perlindungan untuk pemberi maklumat.

Ia selepas Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki menggesa individu tersebut untuk membuat laporan rasmi kepada suruhanjaya itu bagi membolehkan proses perlindungan di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (WPA) dimulakan, namun dia tidak memberi jaminan sama ada individu tersebut akan mendapat perlindungan daripada siasatan dan pendakwaan.

Selain itu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim juga berkata tiada jaminan perlindungan untuk pemberi maklumat tersebut, yang telah mengaku dirinya adalah pemberi rasuah. Anwar juga berkata individu tersebut juga perlu disiasat.

Panduankini kali ini bertujuan untuk menjelaskan mengenai Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 serta beberapa isu yang dibangkitkan mengenai versi semasa akta itu.

Tentang Akta Perlindungan Pemberi Maklumat

Akta Perlindungan Pemberi Maklumat diperkenalkan pada 2010 untuk membanteras rasuah dan salah laku, dengan menggalakkan individu yang mempunyai maklumat mengenai kesalahan tersebut untuk membuat laporan kepada pihak berkuasa.

Ia bertujuan memudahkan pendedahan tentang salah laku dalam sektor awam dan swasta dengan menyediakan perlindungan tertentu kepada mereka yang bersedia untuk tampil ke depan.

Perlindungan ini juga diberikan kepada mereka yang ada kaitan dengan pemberi maklumat, yang mungkin berdepan tindak balas akibat pendedahan tersebut.

Siapa yang dianggap sebagai pemberi maklumat?

Menurut akta ini, pemberi maklumat ditakrifkan sebagai mana-mana individu yang mendedahkan salah laku kepada mana-mana agensi penguatkuasaan berdasarkan keyakinannya yang ada pihak yang telah melakukan kesalahan di bawah undang-undang.

Agensi tersebut termasuk polis, SPRM, Jabatan Imigresen dan mana-mana badan lain yang ditubuhkan di bawah undang-undang persekutuan atau negeri dengan fungsi penyiasatan dan penguatkuasaan.

Apakah proses yang perlu dilakukan pemberi maklumat?

Individu yang ingin melaporkan salah laku di bawah akta ini perlu membuat laporan kepada agensi penguatkuasaan, sama ada secara lisan atau bertulis.

Pemberi maklumat tidak semestinya perlu dapat mengenal pasti mana-mana individu tertentu berkaitan pendedahan tersebut.

Apa kesalahan yang boleh didedahkan di bawah akta ini?

Akta ini merangkumi semua jenis salah laku yang dianggap sebagai kesalahan disiplin atau kesalahan jenayah.

Ini termasuk rasuah, salah guna kuasa, penyelewengan wang, pelanggaran undang-undang syarikat dan kegiatan yang boleh mengancam keselamatan awam.

Apakah bentuk perlindungan yang disediakan?

Di bawah akta ini, pemberi maklumat akan diberikan tiga bentuk perlindungan:

i. Kerahsiaan

Akta ini melarang sesiapa yang terlibat dalam proses pendedahan daripada mendedahkan sebarang maklumat yang boleh membawa kepada penemuan identiti pemberi maklumat.

Peruntukan ini di bawah Seksyen 8 WPA juga meliputi sebarang catatan yang menyebut nama pemberi maklumat atau yang boleh membawa kepada pengenalan dirinya, dalam mana-mana dokumen yang menjadi bukti atau boleh diperiksa di mana-mana mahkamah atau tribunal, atau oleh mana-mana pihak berkuasa.

Jika terdapat maklumat dalam dokumen yang boleh mendedahkan identiti pemberi maklumat, WPA menetapkan bahawa bahagian tersebut perlu disembunyikan atau dipadamkan.

ii. Kekebalan daripada tindakan sivil dan jenayah

Pemberi maklumat yang dilindungi di bawah WPA tidak boleh dikenakan sebarang tanggungjawab sivil atau jenayah kerana mendedahkan salah laku.

Peruntukan ini di bawah Seksyen 9 Akta ini juga melindungi pemberi maklumat daripada sebarang tanggungjawab yang timbul daripada proses pentadbiran seperti tindakan disiplin, atau daripada sebarang tindakan, tuntutan atau permintaan akibat daripada pendedahan yang dibuat.

iii. Perlindungan daripada tindakan balas

Menurut Akta Perlindungan Pemberi Maklumat, tiada sesiapa yang boleh mengambil sebarang tindakan yang menjejaskan atau membuat ancaman terhadap pemberi maklumat.

Perlindungan sama turut diberikan kepada sesiapa yang berkaitan atau dikaitkan dengan pemberi maklumat.

Ini termasuk sebarang tindakan balas seperti menamatkan kontrak pemberi maklumat, menahan bayaran yang sepatutnya diterimanya atau enggan memeterai kontrak baru.

Pemberi maklumat boleh membuat laporan kepada pihak berkuasa jika dia berdepan tindakan balas dan pihak berkuasa wajib menyiasatnya.

Sesiapa yang didapati bersalah mengambil tindakan yang menjejaskan pemberi maklumat boleh dikenakan denda tidak lebih RM100,000, penjara tidak lebih 15 tahun, atau kedua-duanya sekali.

Seorang pengarah syarikat menjadi yang pertama didakwa di bawah akta ini atas tindakan yang menjejaskan seorang pemberi maklumat pada  2020.

Bekas timbalan CEO Education Malaysia Global Services Wafiy Abd Aziz dituduh mengambil tindakan balas terhadap pemberi maklumat, Shahinuddin Shariff yang telah melaporkan salah laku kepada SPRM.

Bagaimanapun Wafiy dibebaskan pada 2022 setelah Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Apa lagi perlindungan yang disediakan akta ini kepada pemberi maklumat?

Selain tiga bentuk perlindungan yang dinyatakan di atas, Akta Perlindungan Pemberi Maklumat memberi kuasa tertentu kepada mahkamah untuk mengambil tindakan terhadap sesiapa yang melakukan tindakan menjejaskanpemberi maklumat, termasuk dengan mengeluarkan injunksi dan memerintahkan pesalah membayar pampasan.

Dalam kes di mana tindakan balas terhadap pemberi maklumat berlaku di tempat kerja, sama ada melalui tindakan disiplin atau tindakan lain seperti dipindahkan atau dinafikan kenaikan pangkat yang layak diterima, mahkamah juga diberi kuasa untuk memerintahkan agar hukuman tersebut dibatalkan dan semua faedah yang layak diterima, dikembalikan.

Jika pemberi maklumat atau mana-mana individu yang berkaitan dengannya takut berdepan tindak balas di tempat kerja, dia boleh meminta agensi penguatkuasaan untuk memohon penempatan semula dari tempat kerjanya.

Adakah akta ini memberi perlindungan secara automatik kepada setiap pemberi maklumat?

Secara ringkas, tidak.

Berkenaan kes pendedahan mengaitkan Adun Sabah, Azam berkata perlindungan bagi pemberi maklumat boleh dibatalkan jika individu tersebut didapati terlibat dalam kesalahan yang didedahkannya.

Ini berdasarkan Seksyen 11(1)(a) yang menetapkan agensi penguatkuasaan perlu menarik balik perlindungan jika pemberi maklumat didapati terlibat dalam salah laku yang didedahkannya.

Individu yang berkongsi maklumat yang didedahkanya kepada dengan pihak luar, seperti media, juga berisiko kehilangan perlindungan kerana melanggar Seksyen 8(1).

Walaupun akta ini digubal untukmenggalakkan pendedahan kesalahan, ia mempunyai klausa dalam Seksyen 6(1) yang mengecualikan pendedahan perkara yang dilarang secara khusus undang-undang.

Ini bermaksud seseorang yang mendedahkan maklumat yang dilindungi di bawah undang-undang seperti Akta Rahsia Rasmi (OSA) tidak akan dilindungi di bawah akta ini.

Isu-isu yang melingkari Akta Perlindungan Pemberi Maklumat

Sejak digubal pada 2010, akta ini telah dikritik atas beberapa perkara yang dilihat sebagai kekurangan.

Satu kelemahan utama, seperti yang disebut peguam Syahredzan Johan pada 2013, adalah larangan terhadap pendedahan perkara yang dilindungi di bawah undang-undang lain seperti OSA dan Akta Institusi Perbankan dan Kewangan (Bafia).

Larangan ini menyebabkan Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli, yang kini menteri ekonomi, didakwa dan disabitkan di bawah Bafia pada 2013 kerana mendedahkan butiran sulit berkaitan skandal National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC).

Isu lain adalah dengan membataskan saluran pendedahan hanya kepada agensi penguatkuasaan undang-undang, yang dikatakan boleh menghakis keyakinan pemberi maklumat ekoran kurangnya kepercayaan terhadap agensi-agensi terbabit, serta tidak merangkumi badan yang tiada kuasa penyiasatan dan penguatkuasaan seperti Majlis Perubatan Malaysia dan Majlis Peguam.

Ada juga seruan agar perlindungan diperluaskan kepada pemberi maklumat yang membuat pendedahan kepada media dan organisasi masyarakat sivil.

Adakah terdapat usaha untuk menambah baik akta ini?

Ya. Pada Mac lalu, kerajaan berkata cadangan untuk meminda akta ini akan dibentangkan di Parlimen menjelang akhir tahun ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) M Kulasegaran berkata antara cadangan utama adalah untuk mewujudkan mekanisme berpusat untuk menerima aduan daripada pemberi maklumat.

“Pindaan yang dicadangkan untuk memperbaiki akta akan membolehkan perlindungan pemberi maklumat dilaksanakan dengan cara yang eksklusif dan berkesan, dan seterusnya mampu mencerminkan suasana neutral, lebih telus dan tidak berat sebelah dalam pengendalian semua laporan mengenai perlakuan yang tidak wajar,” katanya kepada Dewan Rakyat.

Menurut Kulasegaran, ada juga cadangan agar pindaan besar dibuat ke atas peruntukan dalam Seksyen 2, 3, 5, 6, 9, 11, 12, 13, 14, dan 26 serta beberapa seksyen lain secara umum.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS