Paling Popular
Terkini

Perobohan rumah-rumah dan sebuah sekolah untuk komuniti tanpa kerakyatan di Teluk Layang, Kota Kinabalu, Sabah, telah ditangguhkan.

Perkara itu dimaklumkan sumber dari Borneo Komrad, iaitu organisasi yang mengusahakan Sekolah Alternatif untuk kanak-kanak tanpa kerakyatan

Sumber itu berkata pihak berkuasa pada mulanya memberi amaran perobohan akan dijalankan semalam.

"Tetapi setakat jam 4.30 petang (semalam), rumah-rumah dan sekolah masih ada," kata sumber itu kepada Malaysiakini.

Ketika dihubungi, aktivis isu komuniti tanpa kerakyatan Wong Kueng Hui berkata dia turut dimaklumkan oleh penduduk kampung di Teluk Layang bahawa tiada perobohan akan dilakukan semalam.

Wong Kueng Hui

Menurutnya, semalam dia dimaklumkan yang seorang wakil - dipercayai daripada parti politik dalam kerajaan negeri - telah menjemput penduduk kampung untuk melihat lokasi yang ditawarkan untuk penempatan semula mereka.

Namun, dia berkata kawasan itu masih belum sesuai untuk didiami kerana tanahnya perlu diratakan sebelum sebarang pembinaan boleh dimulakan.

“Wakil itu memberitahu penduduk kampung bahawa jika ada petempatan baru (dibina) di sini dan jika mereka bersetuju, mereka perlu membayar RM3,000 (setiap keluarga) dengan bayaran pendahuluan sebanyak RM500,” katanya.

Dua hari lalu, sejumlah NGO hak komuniti tanpa kerakyatan membangkitkan isu mengenai rancangan kerajaan negeri untuk merobohkan petempatan Teluk Layang yang menjadi lokasi sekolah tersebut.

Susulan itu, Muda menegur tindakan kerajaan terhadap penduduk Teluk Layang tersebut dan menggesa agar perobohan tersebut dihentikan.

Sementara itu, aktivis Borneo Komrad, Mukmin Nantang, menegur Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, yang dijangka menghadiri konvensyen hak asasi manusia esok, mempersoalkan komitmen moral dan kebisuannya mengenai cadangan perobohan sekolah tersebut.

“Sebagai kerajaan dan menteri pendidikan, apakah pendirian anda (terhadap perobohan sekolah ini)?” soalnya di Instagram.

‘Jangan main politik’

Petempatan Teluk Layang, yang terletak 16 kilometer dari Kota Kinabalu, terletak dalam kawasan Parlimen Sepanggar.

Ditemui Malaysiakini di Parlimen semalam, Ahli Parlimen Sepanggar Mustapha Sakmud mempertahankan Fadhlina dengan berkata bahawa tidak adil untuk mengkritik kerajaan mengenai isu tersebut kerana kerajaan sentiasa menyediakan platform untuk berbincang mengenainya.

Mustapha Sakmud

Mustapha yang juga timbalan menteri pendidikan tinggi menggesa semua pihak untuk tidak mempolitikkan perkara itu kerana ia melibatkan dua isu berbeza, iaitu pendidikan kanak-kanak tanpa kerakyatan dan lokasi sekolah yang tidak diwartakan.

“Jika kita memilih jalan bermain politik dengan buat pendedahan dan kritikan, ia tidak menyelesaikan masalah.

“Justeru, tidak adil untuk mengkritik Fadhlina dengan begitu keras,” katanya.

Mustapha berkata dia akan menyokong “tempoh bertenang” selama enam bulan bagi semua pihak berkepentingan termasuk penduduk kampung, aktivis, dan kerajaan untuk duduk bersama mencari jalan tengah.

“Apa yang kami lakukan adalah mencari penyelesaian alternatif untuk masalah ini kerana kami tidak mahu kanak-kanak ini tercicir daripada pendidikan asas. Itulah keutamaan utama kami,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS