mk-logo
Berita
'SPRM perlukan pemberi maklumat, jangan berlengah beri perlindungan'
Diterbitkan:  Nov 12, 2024 7:30 AM
Dikemaskini: 11:30 PM

Seorang peguam veteran hari ini mengutarakan pandangan berkenaan perlindungan kepada pemberi maklumat dalam skandal rasuah melibatkan lapan Adun yang didedahkan minggu lalu.

Dalam hantaran di Facebook semalam, Haniff Khatri Abdulla berkata SPRM perlu menerima hakikat yang mereka memerlukan keterangan pemberi maklumat itu untuk membuat pendakwaan ke atas ahli politik yang didakwa terlibat.

“Rekod menunjukkan kes-kes rasuah yang dibawa di mahkamah di malaysia, majoritinya melibatkan satu pihak, biasanya pihak yang menerima.

“Berdasarkan realiti inilah, SPRM nescaya akan menerima hakikat yang mereka memerlukan keterangan individu ini untuk membawa pertuduhan di mahkamah,” katanya.

Justeru, katanya lagi, SPRM tidak perlu berlengah dalam memberikan perlindungan kepada pemberi maklumat itu daripada sebarang tindakan sivil atau jenayah.

“Dan beri perlindungan (kepadanya) daripada apa-apa tindakan yang boleh memudaratkan individu itu serta untuk melindungi kesulitan maklumat sehingga siasatan selesai, dan jika boleh sehingga tindakan diambil di mahkamah,” katanya lagi.

Haniff juga menjelaskan apa yang akan berlaku jika ketika menyiasat kes itu, SPRM mendapati ada dakwaan palsu dalam aduan pemberi maklumat itu, yang memerlukan tindakan dikenakan ke atasnya.

Ketika itu, katanya, SPRM boleh menimbang jika kekebalan yang diberikan perlu ditarik balik.

“Jika pun itu berlaku, pemberi maklumat boleh mencabar di bawah undang-undang di bawah Seksyen 11 Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 berhubung pembatalan kekebalan itu.

“Mahkamah akan memutuskan sama ada SPRM berhak untuk menarik balik kekebalan atau tidak,” katanya lagi.

Atas dasar itu, Haniff berkata kedua-dua pihak tidak perlu khuatir atau menyulitkan isu kekebalan.

“Ini supaya siasatan segera boleh dilakukan…secepat mungkin. Kelewatan siasatan, walau sudah pun didedahkan, boleh membawa kesulitan kepada siasatan, apatah lagi jika pihak (yang dikaitkan) ini ada kuasa politik,” katanya lagi.

Haniff juga berpandangan tiada keperluan untuk meminta campur tangan perdana menteri.

“Ini kerana undang-undang dan kuasa budi bicara SPRM jelas,” katanya lagi.

Haniff juga berkata Peguam Negara yang baru, Mohd Dusuki Mokhtar boleh memberi nasihat kepada SPRM berkenaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 bagi memastikan prosesnya dapat dipercepatkan.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS