Setiausaha Agung DAP Anthony Loke menggesa para pemimpin parti itu untuk merenung pilihan raya presiden Amerika Syarikat (AS) yang baru selesai, dengan Donald Trump muncul sebagai pemenang.
Berucap di konvensyen DAP Selangor di Shah Alam hari ini, Loke berkata ada petanda yang menunjukkan Parti Demokrat dan calonnya, Kamal Harris akan kalah.
“Melihat trend global, jelas mengapa Parti Demokrat kalah. Mereka kalah di White House dan kedua-dua dewan Kongres, dan rakyat Amerika merasakan ekonomi mereka merosot.
“Kegagalan ini menunjukkan kepentingan pihak dalam kerajaan, tanpa mengira apa kedudukan mereka, untuk fokus kepada pembangunan nasional dan menyemai harapan untuk masa depan yang lebih baik,” katanya.
Harris yang sebelum ini menjadi naib presiden AS menjadi calon untuk Parti Demokrat selepas Presiden Joe Biden menarik diri pada Jun lalu.
Antara isu yang dilaporkan menjadi punca kekalahan Parti Demokrat adalah dasar ekonomi pentadbiran Biden dan sokongan terhadap regim Zionis Israel.
Bekerja untuk rakyat
Mengaitkannya dengan keadaan di Malaysia, Loke yang juga Menteri Pengangkutan berkata keputusan itu boleh menjadi pengajaran penting untuk ahli politik dalam kerajaan, agar menangani isu-isu asas yang dihadapi rakyat jika tidak ingin tewas seperti Parti Demokrat.
Katanya, ahli politik tidak perlu bimbang dengan keputusan dalam pilihan raya jika rakyat dapat merasakan kehidupan mereka bertambah baik selepas PRU lalu.
“Paling penting dalam politik, dalam pilihan raya, adalah untuk jaga kebajikan rakyat.
“Kita bukan berada dalam kerajaan untuk sentiasa bergaduh untuk jawatan, tetapi untuk berkhidmat kepada rakyat sebagai wakil rakyat, ahli majlis atau malah ketua kampung,” katanya lagi.