Berdasarkan kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki, bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim maklum bahawa pemberi maklumat adalah saksi utama dalam kes rakaman video mengaitkan beberapa Adun yang didakwa membincangkan rasuah yang diterima mereka.
“Satu-satunya harapan kita adalah SPRM tidak mengambil tindakan ke atas pemberi maklumat itu, walaupun jika dia turut terlibat dan mendakwa yang lain yang didakwa menerima rasuah.
“Adakah SPRM akan bertindak secara adil dan profesional terhadap pemberi maklumat itu? Jawapannya ‘ya’ jika SRPM komited untuk mendakwa para Adun tersebut,” katanya kepada Malaysiakini.
Zaid mengulas kenyataan Azam yang peguam yang mewakili pemberi maklumat itu meminta SPRM untuk menandatangani persetujuan agar anak guamnya tidak disiasat jika dia menyerahkan bukti kepada mereka.
Namun, Azam berkata pegawainya enggan berbuat demikian kerana ia bukan prosedur undang-undang yang perlu dipatuhi SPRM.
Azam turut menggesa pemberi maklumat itu untuk membuat laporan rasmi dengan SPRM bagi memulakan proses perlindungan di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.
Dia juga memberi jaminan SPRM akan bertindak berlandaskan undang-undang agar kes tersebut ditangani secara “saksama dan profesional”
Jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil juga menggesa pemberi maklumat itu untuk membuat laporan.
Kekebalan
Menurut undang-undang, kata Zaid, pemberi maklumat perlu membuat laporan jika ingin mendapatkan kekebalan.
“SPRM boleh menarik balik kekebalan itu berdasarkan keadaan tertentu dan itu ketidaktentuan yang perlu diterima pemberi maklumat,” katanya lagi.
Hari ini, Malaysiakini melaporkan terdapat sekurang-kurangnya lapan rakaman video mengaitkan beberapa Adun yang didakwa membincangkan “rasuah” bernilai ratusan ribu ringgit yang diberikan kepada mereka sebagai balasan untuk mendapatkan projek di sebuah negeri.
Selain lapan rakaman video itu, Malaysiakini turut ditunjukkan dokumen berkaitan projek tersebut serta maklumat perbankan dalam talian berkaitan dakwaan rasuah yang berlaku.
Dalam rakaman tersebut, yang dipercayai diambil pada awal tahun ini, seorang ahli perniagaan yang tidak dapat dilihat wajahnya didengar membincangkan terma pemulangan semula wangnya kerana lesen projek tersebut telah dibatalkan.
Difahamkan terdapat lebih banyak rakaman video juga melibatkan Adun-Adun lain daripada negeri itu.
Sumber juga berkata sementara pemberi maklumat sedia untuk mendedahkan perakra itu, dia mahu dilindungi di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.