Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kawasan rayau Orang Asli Sungai Lembing dipajak 30 tahun

Sejak kira-kira 50 tahun lalu, kawasan rayau seluas 121.4 hektar (299 ekar) berhampiran perkampungan Orang Asli Sungai Mas, dekat Sungai Lembing, Kuantan, Pahang seperti 'syurga' untuk komuniti Orang Asli mencari rezeki.

Banyak rotan, akar kayu dan pelbagai jenis herba mudah diperoleh untuk dijadikan bahan dagangan suku kaum Jakun dan Mahmeri yang menetap di situ.

Namun sejak awal tahun ini, kawasan rayau berkenaan dikatakan mula dibersihkan oleh syarikat yang mendapat hak milik pajakan 30 tahun daripada kerajaan Pahang.

Bagi Abu Junos, 50, hampir 100 keluarga Orang Asli yang menetap di sekitar kawasan berkenaan kehilangan sumber pendapatan sampingan mereka.

"Dulu hutan ini tempat kami cari makan, tempat kami cari rotan, sumber bila nak cari rezeki kat sinilah.

"Sekarang ini nampak dah terang benderang, jadi tak ada apalah yang kami nak cari lagi," katanya ketika ditemui ketika meninjau kawasan itu bersama wakil NGO Makmur Relief, Rahmat Yahya, dan Adun Sungai Lembing, Mohamad Ayub Mat Ashri.

Abu Junos

Ditanya mengenai kesan lain dihadapi penduduk setempat, Abu menjelaskan, setiap kali hujan penduduk bimbang dengan ancaman banjir lumpur didakwa akibat pembersihan hutan di situ.

"Memang akan beri kesan besarlah, air ini akan turun terus dan mengakibatkan banjir besar di bahagian hilir seperti Kuala Kenau, Kampung Kolek dan kampung bahagian bawah... jadi memang masalah," katanya.

Sementara itu, Rahmat berkata, pihak berkuasa sepatutnya melakukan sesi libat urus bersama penduduk setempat sebelum meluluskan sebarang projek di kawasan yang mempunyai petempatan penduduk, terutamanya perkampungan Orang Asli.

"Kalau ada sesiapa nak buat pembangunan atau kegiatan ekonomi di sesuatu kawasan, selain kena ikut prosedur operasi standard, dia juga kena buat libat urus dengan ketua masyarakat, ketua kampung dan belia.

Rahmat Yahya

"Biar orang setempat tahu apa projek yang akan dibuat dan kesan kepada mereka.

"Perkara ini penting bagi mengelak berlaku saling tuding-menuding apabila projek itu dimulakan atau apabila projek itu siap," katanya.

Hantar soalan ke MB

Sementara itu, wakil syarikat yang turut bersama dalam tinjauan berkenaan menjelaskan pihaknya mendapat hak milik sementara bagi kerja pertanian di kawasan terbabit.

Yeo Teh Hong memberitahu, surat hak milik itu dikeluarkan pejabat Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang pada Nov 2019.

"Hak milik atau pajakan selama 30 tahun ini bermula 2019 hingga 2049 dan tidak timbul isu kerja pembersihan tanah di sini dilakukan secara tidak sah.

"Cadangan asal syarikat kami adalah untuk menanam kelapa sawit, tapi kena tengok dulu kesesuaian permukaan tanah dan mungkin kami akan tukar dengan tanaman kelapa pandan dan nanas," jelasnya.

Aktiviti pembersihan tanah di situ mula didedahkan Ayub pada awal bulan lalu, selepas menerima aduan daripada pegawai dan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA).

Menurut Ayub, pihak PGA mendakwa kawasan hutan berkenaan sering digunakan untuk tujuan latihan dan operasi pasukan berkenaan.

"Saya pun dah hantar soalan kepada Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail bertanyakan hal ini pada 5 Oktober lalu, namun sehingga hari ini, belum menerima sebarang maklum balas," katanya.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan reaksi daripada pihak kerajaan negeri berhubung isu tersebut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS