Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Najib diarah bela diri atas semua 25 pertuduhan terkait 1MDB

Najib Razak hari ini diperintah untuk membela diri atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM2.27 bilion dana 1MDB.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya mewujudkan prima facie terhadap bekas perdana menteri dan menteri kewangan terbabit.

Kes itu didengar Collin Lawrence Sequerah, yang kini merupakan hakim di Mahkamah Rayuan.

Semasa prosiding sebelum ini, Najib memilih untuk menjadi saksi dengan memberi akuan bersumpah bagi menangkis empat pertuduhan salah guna kuasa.

Tujuh hari lalu Najib mengemukakan permohonan maaf kepada orang ramai atas penglibatannya dalam skandal 1MDB. Bagaimanapun Najib mengekalkan pendirian bahawa dia tidak bersalah.

Semasa prosiding mahkamah terbuka hari ini, Najib berkata dia akan memberikan akuan bersumpah dari kandang saksi.

Sequerah memerintahkan perbicaraan peringkat pembelaan dimulakan pada 2 Dis ini.

Terdahulu hakim terbabit mengambil masa selama hampir dua jam - mulai 9.23 pagi - membacakan keputusannnya sebelum mengarahkan Najib membela diri.

Menurut Sequerah keterangan lisan saksi pendakwaan menunjukkan hubungan dekat di antara Najib dan Jho Low dalam urusan berkaitan 1MDB.

Shahrol Azral Ibrahim Halmi

Katanya saksi - seperti bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi, bekas peguam Jasmine Loo, dan bekas pegawai khas Najib, Ahmari Efendi Nazaruddin - menunjukkan mereka berinteraksi dengan Jho Low.

Merujuk kepada pembabitan Najib dengan Jho Low, hakim itu berpendapat, keterangan saksi mengenainya adalah konsisten, dan bukannya berlaku secara kebetulan.

“Tiada motif untuk saksi-saksi ini memerangkap tertuduh yang merupakan perdana menteri dan menteri kewangan," katanya.

Hakim itu juga berpendapat Najib berada di kedudukan tertinggi untuk membuat sebarang keputusan mengenai 1MDB.

"Adalah membunuh diri bagi saksi-saksi ini untuk menjebaknya (Najib) berdasarkan kedudukannya pada masa itu," kata Sequerah.

Hakim menegaskan apabila skandal 1MDB terdedah pada 2015, Najib tidak membuat sebaranng laporan polis berhubung perkara itu, termasuk berhubung dakwaan penglibatan Jho Low dalam kes tersebut.

Turut menarik perhatian hakim ialah tindakan bekas Ahli Parlimen Pekan itu membubarkan pasukan bertindak khas membabitkan Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Peguam Negara yang menyiasat hal ehwal 1MDB.

Katanya, Najib juga mengetepikan Abdul Gani Patail dan Abu Kassim Mohamed daripada jawatan mereka, masing-masing selaku Peguam Negara dan Pesuruhjaya SPRM.

Sequerah juga menyentuh bagaimana menteri kewangan kedua ketika itu Ahmad Husni Hanadzlah diketepikan apabila dia membangkitkan kebimbangan mengenai usaha sama yang dimeterai 1MDB.

Pasukan pendakwaan diketuai oleh timbalan pendakwa raya Kamal Baharin Omar, manakala peguam kanan, Muhammad Shafee Abdullah, mengetuai pasukan pembelaan.

Najib kini menjalani hukuman penjara selama enam tahun sejak lewat 2022 berhubung kes rasuah RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS