Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAS: Kepelbagaian aset bersama, bukan racun binasa
Diterbitkan:  Oct 29, 2024 2:31 PM
Dikemaskini: 7:05 AM
1

PAS mengingatkan supaya semua pihak supaya sentiasa memposisikan serta menyelaraskan kepelbagaian serta kerencaman agama, kepercayaan dan budaya dalam kerangka dan landskap kebangsaan Malaysia bagi memastikan ia menjadi aset bersama, bukan "racun yang membinasakan."

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan turut menekankan mesej simbolik perayaan ini, kemenangan cahaya ke atas kegelapan atau kebenaran ke atas kepalsuan.

Katanya mesej tersebut bertepatan dengan aspirasi bersama seluruh rakyat Malaysia, tanpa mengira agama, kepercayaan atau latar belakang.

"PAS percaya gesaan supaya manusia sentiasa berpihak kepada cahaya dan kebenaran, selain meningkatkan penghayatan mereka terhadap nilai-nilai murni dan luhur dalam kehidupan peribadi, keluarga dan masyarakat merupakan mesej universal dan abadi yang perlu digenggam serta diperbaharui pada setiap masa dan zaman.

"Hanya dengan teras nilai dan moral yang luhur dan tinggi inilah manusia akan dapat merealisasikan sebuah kehidupan yang indah, harmoni, diberkati dan sejahtera sekali gus bebas daripada penderitaan, kezaliman dan keburukan,” katanya pada ucapan sambutan Deepavali.

Takiyuddin berkata dalam dunia yang semakin terbuka dengan perkembangan geopolitik yang mencabar, imej dan kepentingan negara sering kali terjejas atau dipinggirkan oleh agenda politik, ekonomi, kaum atau peribadi.

"Tanpa langkah penyuraian konflik yang berkesan dan berhemah, negara boleh kehilangan arah dan neraca keutamaannya, sementara rakyat terus keliru dan tertekan tanpa jalan keluar yang berguna.

"Lebih malang sekiranya ada dalam kalangan kita yang tanpa sedar menjadi 'kuda Trojan' kepada kepentingan, naratif dan cita-cita "asing" yang bukan sahaja akan menghakis, malah boleh menenggelamkan terus kepentingan dan aspirasi kebangsaan Malaysia,” tambahnya.

Bersempena perayaan Deepavali ini, PAS berharap semua pihak akan kembali berhukum kepada kebenaran dan keadilan."

"Bukannya terbuai dengan emosi, sentimen, sikap berlebih-lebihan, bermuslihat dan melampau kerana sifat destruktifnya yang jelas,” katanya lagi.

Pengkritik sering menuduh PAS memecah-belahkan perpaduan, menggunakan isu kaum dan agama untuk menarik sokongan pengundi Melayu-Muslim.

Bagaimanapun, PAS mendakwa dirinya mangsa naratif palsu yang menggambarkan parti itu sebagai ekstremis.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
1
ADS