Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria mendakwa dia tidak berniat untuk menghina mana-mana kaum dengan kenyataannya yang menyeru individu yang memiliki "mata, kulit dan darah yang sama" dengannya supaya bersatu.
Dalam wawancara dengan Malaysiakini, Adun Gunung Semanggol itu mendakwa media telah memutarbelitkan kata-katanya sedangkan dia hanya dia merujuk kepada individu yang mempunyai sifat fizikal yang serupa.
"Semalam saya berjumpa dengan kawan yang bukan Melayulah, mereka kata hampir semua akhbar Cina memberi liputan kata saya menghina mereka.
"Itu gambaran yang dia nak buat. Dia pun ini pandai putar belit. Saya tak ada niat. Niat tu Allah SWT tahu, tapi saya tak ada niat," katanya.
Ketua pembangkang Perak itu menegaskan dia merayu semua umat Islam Malaysia agar bersatu dan menegaskan dia tidak memilih sesiapa berdasarkan kaum.
"Kenapa ada orang rasa terhina? Saya merujuk kepada orang yang mempunyai mata, kulit dan darah yang sama dengan saya, menggalakkan perpaduan," katanya.
Kontroversi itu bermula dengan insiden mengibarkan bendera China semasa perayaan kebudayaan Guan Gong di Teluk Intan, Perak yang menyebabkan PAS menggesa polis melakukan siasatan.
Persatuan Kebudayaan Guan Gong, yang menganjurkan festival itu, telah memohon maaf dan menjelaskan bahawa individu yang mengibarkan bendera itu adalah warga China.
Penganjur juga menegaskan bahawa Jalur Gemilang dan bendera negeri Perak turut dikibarkan pada majlis itu.
Tidak puas hati dengan majlis itu, Razman menghadiri perhimpunan di tempat yang sama pada hari berikutnya, di mana dia berucap membidas kerajaan kerana didakwa gagal mempertahankan kedaulatan negara.
Dalam masa yang sama, dia juga menyeru individu yang memiliki "mata, kulit dan darah yang sama" supaya bersatu.
“Kita mohon kepada semua yang matanya macam ni (sambil tunjuk mata), kulit dia macam ni (tunjuk kulit), darah dia macam kita semua, kita kena bersatu, inilah wadahnya yang kita bawa,” kata Razman.
Razman menambah mesej itu disampaikan kepada "rakan" yang menyokong kumpulan yang mengibarkan bendera China itu.
‘Macam nak menguasai Malaysia’
Menjelaskan maksud kenyataan itu, Razman menyatakan ada perbezaan antara insiden mengibarkan bendera tersebut dan mempamerkan bendera untuk meraikan sesuatu kejayaan.
"Katakanlah kita mendaki Gunung Everest atau mengembara melalui Antartika; kita akan menaikkan bendera di puncak.
"Tetapi ini (di Teluk Intan) adalah tempat terbuka yang melibatkan orang ramai yang tidak dapat membezakan Cina Malaysia dan China (pendatang) mengibarkan bendera.
"Jika mereka berarak seperti dalam sukan (kontinjen), mereka akan membawa sekurang-kurangnya satu bendera. Tetapi, cara mereka mengibarkan bendera seolah-olah (mereka berkata) kita telah berjaya (menguasai) Malaysia," katanya.
Mengulas lanjut, Razman menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap pengajur acara itu.
"Saya tidak menyalahkan sesiapa. (Pada mulanya) Mereka berkata perhimpunan itu tidak mempunyai permit, dan kemudian mereka mendakwa ia ada tetapi telah melanggar undang-undang.
"Apa ini? Mana satu benar?" soalnya.
Katanya, dia akan memberikan kerjasama penuh sekiranya dipanggil polis untuk memberikan keterangan.
"Polis menjalankan tugas mereka. Mereka sedang menyiasat, dan InsyaAllah, saya akan berikan kenyataan saya," katanya.