mk-logo
Berita
'Jalur Gemilang ada dikibar, warga China rai diplomasi 50 tahun'
Diterbitkan:  Oct 28, 2024 11:38 AM
Dikemaskini: 9:31 AM

Persatuan Kebudayaan Guan Gong kesal atas salah faham yang berterusan mengenai majlis anjuran organisasi berkenaan baru-baru ini di Teluk Intan.

Presidennya Soon Boon Hua menafikan dakwaan berterusan yang menuduh bendera Malaysia tidak dikibarkan dalam perarakan mereka.

Sebaliknya, dia menegaskan Jalur Gemilang dan bendera Perak berada di barisan hadapan perarakan tersebut.

Selain itu, dia menjelaskan warga China yang mengibarkan bendera negara mereka pada acara tersebut sebenarnya sedang meraikan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.

Jelas Soon, mereka melaungkan slogan seperti “semoga dilanjutkan persahabatan Malaysia-China” dan “50 tahun persahabatan Malaysia-China.”

Soon dipetik China Press berkata wakil-wakil dari China begitu bersemangat, terutama kerana tahun ini menandakan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China.

Menurutnya, selepas lawatan baru-baru ini oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim ke China, mereka merasakan jalinan yang kuat dengan Malaysia.

Soon turut berkata kontroversi ini sangat mengecewakan kerana penganjur acara Guan Cong telah melawat sembilan negara dan wilayah, termasuk Hong Kong, Macau dan Taiwan sejak Jun lalu untuk mempromosikan pelancongan budaya Malaysia.

“Saya berharap isu ini dapat diselesaikan dengan cepat. Ia bukan sahaja melibatkan Malaysia, tetapi juga mendapat perhatian dari sektor pelancongan budaya di sembilan negara dan wilayah lain, termasuk Hong Kong dan Taiwan. Kesan yang dialami adalah besar dan meluas,” katanya.

Kejadian pengibaran bendera China itu menimbulkan kemarahan ahli politik Melayu daripada Umno dan PAS yang mendakwa ia menjejaskan kedaulatan Malaysia.

Namun, sebahagian besar reaksi nampaknya hanya berdasarkan satu klip video tular yang memaparkan kibaran bendera China.

Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh antara pihak yang menuduh tiada bendera Malaysia berkibar di acara tersebut.

Apa kejadahnya, nak buat perarakan di tempat awam. Dahlah tak ada permit, angkat lagi bendera China.

“Tak ada satu langsung pun bendera Malaysia di situ,” dakwa Akmal.

Sebaliknya, dua hantaran Facebook oleh Persatuan Guan Gong yang memaparkan bendera Malaysia dan Perak di hadapan perarakan hanya dikongsi sebanyak 10 kali.

Sementara itu, Soon menzahirkan penghargaan atas maklum balas Menteri Besar Perak Saarani Mohamad berhubung isu tersebut, yang menekankan matlamat festival untuk mempromosikan budaya dan pelancongan, terutamanya dalam memperkenalkan Teluk Intan kepada pelawat antarabangsa.

Saarani berkata pengibaran bendera negara lain bukanlah isu selagi peraturan dipatuhi penganjur dan peserta acara.

Untuk rekod, Festival Guan Gong meraikan pahlawan purba China Guan Yu yang popular kerana sering diadaptasi dalam fiksyen sejarah, filem dan permainan video.

Novel abad ke-14 berjudul “Romance of Three Kingdoms” turut menyelitkan hikayat pahlawan Guan Yu.

Aktor Hong Kong Donnie Yen juga pernah membawa watak Guan Yu di dalam filem The Lost Bladesmen.

Patung Guan Yu diletakkan di banyak kuil Taoist dan menjadi simbol spiritual masyarakat Cina yang dihormati dalam kepercayaan Buddha dan Confucianism.

Di Jepun dan Barat, Guan Yu juga menjadi sangat popular dalam siri permainan video oleh syarikat Koei, Dynasty Warriors.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS