Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kain seragam 'keras' bukan isu baru - Kesatuan jururawat
Diterbitkan:  Oct 23, 2024 11:28 PM
Dikemaskini: 3:28 PM

Kesatuan Jururawat Malaysia (MNU) dilaporkan mengesahkan menerima aduan mengenai kain berkualiti rendah yang diberikan kepada jururawat untuk dijadikan pakaian seragam mereka.

Presidennya Saaidah Athman dipetik BH Online berkata kesatuan masih mengumpul lebih banyak maklum balas mengenai isu ini namun mengakui ia bukanlah masalah baru.

"Ini bukan perkara baru, tetapi memang kita ada beritahu kepada jururawat kalau tak puas hati (dengan kain dibekalkan), pulangkan (semula)... nanti pihak berkaitan akan mencari pembekal lain atau pihak hospital akan uruskan seperti beli sendiri dahulu.

"Setakat ini, saya masih menunggu maklum balas daripada anak buah saya, tapi saya ada terima satu (mengatakan) kain keras sedikit, menyebabkan tak selesa untuk bekerja,” katanya.

Katanya setiap kali jururawat menerima pakaian seragam baru, jabatan kesihatan negeri akan bertanya jika mereka berpuas hati dengan kualitinya.

"Kain seragam ini dibekalkan kontraktor, cuma saya bimbang ketika mereka (kontraktor) hantar sampel, kainnya cantik dan berkualiti tetapi apabila agihan dibuat, kain diberi berlainan dengan sampel diberikan.

"Bagaimanapun, MNU akan mendapatkan maklumat lanjut daripada ahli kami di seluruh negara bagi berhubung perkara ini," jelasnya.

Kenyataan MNU menyusul selepas Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng membangkitkan isu jururawat kerajaan semasa perbahasan di Dewan Rakyat semalam.

Lim mendakwa terdapat aduan kain yang diberikan begitu ‘keras’ sehingga tukang jahit enggan menggunakannya kerana bimbang jarum mesin jahit mereka akan patah.

Kain itu juga didakwa mudah bertukar menjadi kuning, menyebabkan jururawat dimarahi oleh matrons mereka.

Dia turut mendakwa terdapat kes jururawat mendermakan kain yang diberikan kepada mereka untuk dijadikan kain kafan.

Jika jururawat menolak kain tersebut, mereka berisiko kehilangan RM690 dalam bentuk elaun yang diberikan oleh kerajaan untuk tujuan menjahit pakaian seragam.

Bagaimanapun Saaidah dipetik BH Online tidak memberikan sebarang komen mengenai dakwaan Lim bahawa kain tersebut digunakan sebagai kain kafan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS