Paling Popular
Terkini

Dewan Rakyat hari ini mendengar tentang keluhan jururawat kerajaan yang didakwa menerima kain berkualiti rendah untuk dijadikan seragam, sehingga ada yang membandingkannya dengan kain kafan.

Lim Guan Eng (PH-Bagan) dalam ucapan perbahasannya berkata isu ini baru-baru ini dibangkitkan Ahli Dewan Negara Dr RA Lingeshwaran dan menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) untuk mendedahkan nama syarikat yang membekalkan kain tersebut dan apakah tindakan telah diambil terhadap mereka.

"Saya ingin menarik perhatian KKM tentang aduan para jururawat bahawa kain yang diterima adalah sangat keras sehingga kedai jahit pun tidak sanggup menerima kain tersebut kerana takut jarum mesin mereka akan patah.

"Ada juga yang mengeluh bahawa kain yang diterima cepat menjadi kuning sehingga mereka dimarahi oleh matron mereka.

"Saya menimbulkan kes ini kerana yang lebih teruk lagi, ada jururawat yang memberi sedekah untuk digunakan sebagai kain kafan," katanya.

Lim mendakwa banyak jururawat terpaksa menerima kain tersebut kerana menolak bahan itu akan menyebabkan mereka kehilangan elaun sebanyak RM690 yang disediakan oleh kerajaan untuk tujuan menjahit seragam.

Dia kemudian menggesa KKM untuk memberikan maklumat lanjut kepada Dewan Rakyat mengenai kontraktor yang bertanggungjawab membekalkan kain tersebut.

“Boleh KKM memberikan butiran lanjut mengenai kontrak ini, terutamanya jumlah tender untuk perolehan kain putih bagi jururawat dan pembantu perubatan? Apa nama syarikat yang membekalkan bahan tersebut, dan adakah tindakan undang-undang seperti denda boleh dikenakan terhadap mereka?” tambahnya.

Aduan yang dibangkitkan Lim dipercayai berasal daripada komen yang ditinggalkan pada video TikTok yang disiarkan oleh Lingeshwaran minggu lalu, tentang mesyuarat yang diadakan beliau dengan KKM untuk menonjolkan isu seragam ini.

Dalam video tersebut, Lingeshwaran berkata dia telah memaklumkan Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad dan Timbalan Ketua Setiausaha KKM (kewangan) Norazman Ayob mengenai kualiti seragam yang tidak memuaskan.

Menurut doktor yang juga bekas pengarah hospital itu, KKM mendakwa pihaknya belum menerima sebarang aduan seperti itu daripada jururawat, tetapi berjanji akan mendapatkan maklum balas daripada kumpulan tersebut.

Bagaimanapun, ruangan komen video Lingeshwaran berkata masalah tersebut berlarutan, dengan beberapa pengguna TikTok menyatakan bahawa mereka terpaksa membeli kain sendiri kerana kain yang dibekalkan oleh KKM terlalu 'keras' dan warnanya krim, bukan putih.

"Sebelum ini kami sudah memberi maklum balas mengenai kualiti seragam, kenapa ia tidak sampai kepada pihak pengurusan atasan?" kata seorang pengguna TikTok.

Seorang lagi berkata: "Kami semua terpaksa membeli kain sendiri, tak pernah sekalipun kami guna kain yang dibekalkan oleh KKM (kerana) bukan sahaja kainnya sangat keras, tetapi juga berwarna krim, bukan putih."

Seorang pengguna mencadangkan agar jururawat yang memakai kain tersebut mengambil gambar dan menghantarnya kepada menteri dan mengatakan kain itu biasanya mula rosak dalam tempoh tiga bulan.

Satu lagi komen turut memperolokkan kain yang disumbangkan sebagai kain kafan itu: "Dapat kain keras ..buat balut jenazah pun,agaknya menggelupur jenazah tu..kain kapan lagi lembut."


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS