Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Belanjawan sisih orang India? Ramanan ingatkan jangan putar-belit
Diterbitkan:  Oct 21, 2024 6:38 PM
Dikemaskini: 10:39 AM

Belanjawan 2025 untuk semua lapisan masyarakat tanpa membezakan mana-mana komuniti, jelas Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi R Ramanan.

“Bagi komuniti India, sudah banyak kali Perdana Menteri (Anwar Ibrahim) sudah cakap, tak nak pecah-pecahkan (peruntukan mengikut komuniti)… (sesetengah pihak) dia cakap RM130 juta saja bagi komuniti India, adakah ini bermaksud peruntukan yang disediakan untuk kesihatan bukan untuk komuniti India? (kaum) India tak dapat?

“Adakah itu maksud dia? RM64 bilion untuk Kementerian Pendidikan, adakah pendidikan itu khas untuk sekolah kebangsaan atau sekolah Cina?

"Tidak, (peruntukan) itu untuk semua (komuniti),” katanya seperti dipetik Bernama.

Ramanan menyelar kenyataan sesetengah pihak yang mendakwa jumlah peruntukan RM130 juta bagi masyarakat India yang diumumkan Anwar seolah-olah meminggirkan komuniti itu.

Dia mengingatkan pihak berkenaan supaya tidak memutar belit dan merendah-rendahkan pengumuman yang dibuat pada Belanjawan 2025, sebaliknya perlu meneliti perkara itu sebelum mengeluarkan kenyataan sedemikian.

Katanya, masyarakat India agar tidak terpengaruh dengan dakwaan yang dibuat sesetengah pihak tidak bertanggungjawab.

Terdahulu, seorang pemimpin PN membangkitkan persoalan bagaimana Anwar memperuntukkan RM600 juta untuk mengubah suai bangunan Sultan Abdul Samad dan Carcosa Seri Negara, tetapi hanya memperuntukkan RM130 juta kepada masyarakat India.

Ketua Penerangan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), Suthan Mookiah (gambar atas) berkata dia risau kerana peruntukan untuk masyarakat India "semakin mengecil dari tahun ke tahun."

“Berbilion-bilion boleh diperuntukkan untuk komuniti lain, malahan, dua bangunan lama boleh mendapat peruntukan RM600 juta tetapi sekali lagi, masyarakat India hanya mendapat RM100 juta untuk Mitra (Unit Transformasi India Malaysia) dan RM30 juta dalam bentuk pinjaman mudah di bawah Tekun (Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga)," katanya menerusi hantaran di TikTok.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS