Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Anwar lempar sisa, harap orang India makan budi' - Pemimpin PN
Diterbitkan:  Oct 21, 2024 2:29 PM
Dikemaskini: 6:38 AM

Perdana Menteri Anwar Ibrahim didakwa mengabaikan nasib masyarakat India ketika membentangkan Belanjawan 2025.

Seorang pemimpin PN membangkitkan persoalan bagaimana Anwar memperuntukkan RM600 juta untuk mengubah suai bangunan Sultan Abdul Samad dan Carcosa Seri Negara, tetapi hanya memperuntukkan RM130 juta kepada masyarakat India.

“Saya risau kerana peruntukan untuk masyarakat India, yang termiskin dan terpinggir di negara ini, semakin mengecil dari tahun ke tahun," kata Ketua Penerangan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), Suthan Mookiah menerusi hantaran di TikTok.

“Berbilion-bilion boleh diperuntukkan untuk komuniti lain, malahan, dua bangunan lama boleh mendapat peruntukan RM600 juta tetapi sekali lagi, masyarakat India hanya mendapat RM100 juta untuk Mitra (Unit Transformasi India Malaysia) dan RM30 juta dalam bentuk pinjaman mudah di bawah Tekun (Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga).

“Kamu terus melemparkan sisa-sisa kepada masyarakat India dan memberitahu kami untuk bersyukur dan diam.

"Saya ingin bertanya kepada Mister Nambiar (merujuk kepada Anwar), adakah masyarakat India kini dianggap seperti anak tiri yang tidak diingini?

“Ia bukan sahaja menghina, tetapi ibarat hukuman mati untuk masa depan masyarakat India di Malaysia,” katanya.

Mendiang MN Nambiar seorang pelakon Tamil terkenal pada tahun 1960an dan 1970an yang sering memainkan watak penjahat berlawanan dengan artis seperti MGR.

Ketika membentangkan Belanjawan 2025 pada hari Jumaat lalu, Anwar mengumumkan kerajaan akan memperuntukkan RM600 juta untuk memulihkan bangunan Sultan Abdul Samad dan Carcosa Seri Negara, dalam usaha meningkatkan nilai dua mercu tanda negara ini.

Ini termasuk pembinaan jambatan bertingkat yang menghubungkan Taman Botani Perdana dan Carcosa Seri Negara.

Dia juga mengumumkan peruntukan RM40 bilion bagi kemudahan pinjaman kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana.

Dengan memberikan perincian, Anwar berkata ia termasuk RM3.2 bilion untuk golongan kurang upaya, RM130 juta untuk masyarakat India dan RM5 bilion untuk PKS bumiputera.

Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) juga akan memperuntukkan RM800 juta dalam pembiayaan untuk usahawan bumiputera manakala kerajaan memperuntukkan RM1.3 bilion kepada kontraktor G1-G4, terutamanya dalam kalangan bumiputera.

Adakah k'jaan peduli?

Suthan berkata masyarakat India Malaysia telah lama meminta program untuk membantu golongan yang memerlukan dalam komuniti itu, dengan peruntukan minimum sebanyak RM500 juta setahun.

“Tetapi kerajaan tidak cukup ambil peduli untuk bertindak. Adakah mereka sengaja membiarkan masyarakat India ketinggalan manakala negara terus maju?” tanyanya.

Ketua Penerangan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), Suthan Mookiah.

Suthan kemudian menggesa ahli parlimen India dalam kerajaan gabungan untuk menyoal pentadbiran mengenai kegagalan menyediakan pembiayaan yang mencukupi dalam menangani masalah dihadapi oleh masyarakat tersebut.

“Sudah tiba masanya untuk mempersoalkan keikhlasan kerajaan terhadap masyarakat India. Ahli parlimen, senator dan Adun India mesti bertanggungjawab dan mempersoalkan kegagalan ini.

“Jika tidak, mereka tidak tahu malu dan patut meletakkan jawatan,” tegasnya lagi.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS