Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
SPRM bukan 'James Bond' boleh selesai kes dalam sehari - Azam
Diterbitkan:  Oct 19, 2024 11:05 AM
Dikemaskini: 3:05 AM

Kakitangan SPRM bukanlah “James Bond” yang boleh menyelesaikan kes seperti siasatan Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) dalam masa hanya satu hari, kata pesuruhjayanya Azam Baki.

Menurut The Star, Azam berkata pegawainya pada masa ini masih giat menjejak saham yang disyaki berkaitan dengan rasuah konsesi perlombongan pasir melibatkan MBI.

“Perkara seperti ini (siasatan yang pantas) hanya terjadi dalam filem. Jadi, berikan kami masa untuk menyiasat kes ini dengan teliti,” katanya selepas menghadiri majlis menandatangani memorandum persefahaman untuk meningkatkan tadbir urus antara SPRM dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) semalam.

Semalam, Bernama melaporkan SPRM telah membekukan aset bernilai jutaan ringgit sebagai sebahagian daripada siasatan yang sedang dijalankan ke atas kes itu.

Azam berkata tiada tangkapan baru dibuat berkaitan kes itu.

Dia berkata SPRM juga sedang menyiasat 20 projek lain dan pihaknya mungkin dapat memberikan kemas kini mengenai kes MBI dalam masa tiga hingga empat hari lagi.

‘Safe house’ diserbu

Pada Khamis lalu, dua individu, iaitu bekas eksekutif kanan MBI dan usahawan telah ditangkap berkaitan dengan siasatan itu.

Setakat ini, SPRM telah menyerbu sembilan premis dan menyita hampir RM6 juta wang tunai, termasuk RM5 juta dalam mata wang asing yang ditemui di sebuah rumah.

Beberapa kertas siasatan telah dibuka di bawah Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001

Awal minggu ini, Malaysiakini melaporkan SPRM telah menyerbu tiga “safe house” yang dikaitkan dengan seorang ahli politik berpengaruh.

Berkaitan ahli politik yang dikaitkan dengan kes ini, Azam berkata dia akan dipanggil pada waktu yang sesuai untuk soal siasat.

“Kami perlu mengumpulkan semua bukti yang diperlukan (sebelum memanggilnya),” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS