PARLIMEN | Kerajaan diminta menjelaskan nasib graduan institut pengajian tinggi (IPT) yang memperolehi purata nilai gred kumulatif (CGPA) rendah berhubung peluang mendapatkan pekerjaan yang baik selepas tamat pengajian.

Dalam sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini, Mohd Shahar Abdullah (BN - Paya Besar) berkata beberapa persoalan berkenaan soal berkenaan memerlukan penjelasan lanjut.

Mohd Shahar berkata kadar undermployment pada masa ini, iaitu pekerjaan yang tidak sejajar dengan kemahiran, telah meningkat kepada 37.4 peratus berbading 29.9 peratus pada tahun lepas.

“Jadi bagaimana Kementerian Ekonomi menyelesaikan kompetensi, koordinasi yang saya sebutkan sebagai pengeluaran, penawaran dan pengisian tadi.

“Adakah graduan yang hanya dapat CGPA 3.5 ke atas saja diterima bekerja dalam sektor bernilai tinggi? Apakah nasib graduan yang di bawah CGPA itu? Bagaimana kerajaan menyelesaikan perkara itu?” soalnya ketika mengajukan soalan tambahan kepada Timbalan  Menteri Ekonomi Hanifah Hajar Taib.

Hanifah Hajar Taib

Menjawab persoalan itu, Hanifah berkata isu kadar guna tenaga kerja yang tidak berkaitan kemahiran ini bukanlah di Malaysia sahaja, tetapi turut berlaku di negara berpendapatan tinggi seperti Korea Selatan, Australia dan Amerika Syarikat.

“Berdasarkan data daripada kajian tenaga buruh oleh Jabatan Perangkaan Malaysia,  kadar guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran adalah 37 peratus pada suku tahun kedua 2024, seperti yang dimaklumkan yang berhormat.

“Guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran ditakrifkan sebagai mereka mempunyai pendidikan tertiari tetapi bekerja di kemahiran sederhana dan rendah, di mana pendidikan tertiari didefinasikan sebagai mereka yang mempunyai kelayakan pendidikan SPM keatas,” katanya.

Bagaimanapun, dia berkata kadar guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran semakin menurun dengan tahap pendidikan yang semakin meningkat.

“Contohnya, kadar guna tenaga tidak penuh peringkat Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) adalah 58 peratus tetapi peringkat Ijazah lebih rendah, iaitu 26.9 peratus,” katanya.

Selain itu, katanya lagi, kerajaan juga berusaha meningkatkan pelaburan dan merancakkan pertumbuhan industri utama menerusi pelbagai strategi dan inisiatif, bagi mewujudkan peluang pekerjaan kepada mereka yang berkelulusan tinggi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS