Paling Popular
Terkini

Jawatankuasa Fatwa Melaka yang bermesyuarat pada 3 Okt lepas memfatwakan ajaran dan amalan dalam GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) adalah sesat, kata Mufti Melaka Datuk Abdul Halim Tawil.

Beliau berkata ajaran dan amalan dalam GISBH ada ciri persamaan dengan elemen berkaitan ajaran Al-Arqam yang difatwakan haram pada 1994 dan Syarikat Rufaqa’ Corporation Sdn Bhd (SRC) (difatwakan haram pada 2007).

"Kita melihat elemen (ajaran Al-Arqam) ke atas GISBH ada persamaan ciri-ciri yang dipegang oleh pengikut-pengikut bekas Al-Arqam dan Rufaqa', mereka mendaftar ataupun menjenamakan (diri) mereka semula sebagai GISBH.

"Kami mengambil ketetapan ada persamaan daripada sudut kepercayaan, amalan dan juga pegangan mereka (ahli GISBH) daripada sudut wirid dan sebagainya, dan kita telah memutuskan iaitu apa yang dibawa oleh kumpulan GISBH ini adalah bertentangan dengan hukum syarak," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Seminar Pendidikan Fatwa Kontemporari sempena Sambutan Maulidur Rasul SAW peringkat Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di Ayer Keroh di Melaka hari ini.

Abdul Halim berkata Melaka turut memfatwakan haram dan sesat empat lagi ajaran dan fahaman kerana bercanggah dengan hukum syarak dan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah di bawah Seksyen 35 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Melaka) 2002 pada 12 Sept lalu.

Beliau berkata ia membabitkan ajaran dan fahaman Irwan Alias, ajaran Suhaini Mohammad (Si Hulk), amalan dan kaedah perubatan Adam Isa (Tabib Adam) dan ajaran risalah bab kesucian yang dibawa oleh Wayang Hadi Kesumo (Hadi Minallah).

"Kita memfatwakan (ajaran dan fahaman itu sebagai sesat) berdasarkan kajian dan laporan yang dibentangkan (oleh pasukan penyelidik) selain sesi temu bual (dengan pengamal ajaran), dan daripada laporan-laporan itu kita melihat ada elemen keraguan di dalam perubatan (dan ajaran) tersebut," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS