Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Selepas 9 tahun, polis akhirnya pulangkan komputer Malaysiakini
Diterbitkan:  Oct 1, 2024 8:56 PM
Dikemaskini: 12:56 PM

Polis akhirnya mengembalikan komputer riba milik seorang wartawan Malaysiakini yang dirampas kira-kira sembilan tahun lalu, di tengah kehangatan skandal 1MDB.

Pada 26 September lalu, polis menghubungi Malaysiakini bagi mengaturkan penyerahan semula komputer riba itu, yang akhirnya dipulangkan oleh ibu pejabat polis (IPD) Putrajaya pagi tadi.

Tidak jelas sebab komputer riba itu dipulangkan, bersama-sama pengecas, sebuah pemacu pena USB dan beberapa dokumen, yang dirampas ketika serbuan polis di pejabat Malaysiakini di Petaling Jaya, Selangor pada 9 November 2015.

Ia merupakan serbuan kedua terhadap Malaysiakini terkait laporan yang disiarkan portal berita itu pada 2 November 2015 - iaitu seminggu sebelumnya - yang melaporkan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Ahmad Shazalee Abdul Khairi dipindah secara mengejut.

Shazalee merupakan sebahagian daripada pasukan yang menyiasat dakwaan wang bekas subsidiari 1MDB, SRC International dimasukkan ke akaun bank peribadi Najib Razak, yang merupakan perdana menteri ketika itu.

Apandi nafi

Komputer riba yang dipulangkan hari ini digunakan untuk menulis penafian peguam negara ketika itu, Apandi Ali terhadap laporan Malaysiakini tersebut. Dia menafikan Shazalee dipindah keluar dari SPRM, walaupun laporan Malaysiakini tidak menyatakannya secara spesifik.

Apandi Ali

Dua hari kemudian, menteri yang bertanggungjawab ke atas hal ehwal undang-undang ketika itu, Nancy Shukri berkata Shazalee dinaikkan pangkat dan dipindahkan ke Suruhanjaya Perkhidmatan Perundangan dan Kehakiman.

Dia berkata Shazalee masih di bawah SPRM walaupun tidak lagi bertugas untuk Bahagian Operasi Khas suruhanjaya itu yang menyiasat jejak aliran wang skandal 1MDB.

Pemindahan itu dibuat di tengah siri tindakan yang dilihat sebagai menjejaskan siasatan SPRM ke atas 1MDB dan entiti lain yang berkaitan.

Siasatan ke atas Malaysiakini dibuat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia atas kesalahan penyalahgunaan perkhidmatan rangkaian dan Seksyen 500 Kanun Keseksaan atas fitnah jenayah.

Beberapa kakitangan Malaysiakini turut disoal siasat bagi membantu siasatan, termasuk ketua pengarang ketika itu, Steven Gan. Mereka tidak mendedahkan identiti sumber yang memberi maklumat.

Walaupun Apandi ada berkata “see Malaysiakini in court” kepada portal tersebut ketika itu, Malaysiakini mahupun kakitangannya tidak dihadapkan ke mahkamah ekoran laporan yang disiarkan. 

Selain serbuan pada 9 November 2015, polis dan SKMM turut menyerbu Malaysiakini berhubung laporan yang sama beberapa hari sebelumnya, iaitu pada 6 November. Sebuah komputer turut dirampas dalam serbuan itu.

Pihak berkuasa turut ke pejabat akhbar The Star dan menyoal siasat wartawannya berkaitan laporan yang sama.



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS